EXCO Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Muhammad Khairi Zainol Abidin menggesa Menteri Belia dan Sukan (KBS), Hannah Yeoh tampil memberikan penjelasan berhubung isu tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang didakwa terlibat dalam kes pemalsuan dokumen asal usul oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Menurutnya, isu berkenaan bukan sekadar soal kesilapan pentadbiran seperti yang dijelaskan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), tetapi melibatkan persoalan lebih besar tentang ketulenan dokumen dan kelayakan pemain untuk mewakili Malaysia di bawah status pemain warisan.
“Kementerian Belia dan Sukan tidak boleh berdiam diri. Menteri perlu menjawab sama ada tujuh pemain ini benar-benar menepati syarat dan peraturan FIFA untuk mewakili Malaysia sebagai pemain warisan,” tegas Muhammad Khairi dalam satu kenyataan pada Isnin.








