KESETIAAN bersama satu pasukan tunggal mungkin adalah perkara yang paling sukar dalam dunia bola sepak susulan kerap kali suasana pemain saling bertukar-tukar kelab antara satu sama yang lain.
Pencapaian dan tawaran gaji lebih lumayan menjadi sebab pemain dalam kelab akan membuat keputusan untuk meninggalkan pasukan yang mencipta nama mereka.
Oleh itu, untuk melihat seseorang pemain boleh bertahan lama dengan kelab mereka sehingga berhasil merekodkan 100 penampilan, ia merupakan pencapaian yang membanggakan dalam landskap bola sepak tanah air.
Klik Di Sini Untuk Artikel Penuh
BACA LAGI: Rodrigo Dias turut curi tumpuan di malam penampilan ke-100 Rafael Vitor bersama Penang
BACA LAGI: Umarbek tinggalkan Selangor, peluang cerah buat Kinoshi contohi stail Terengganu FC
Berjaya membuat 100 penampilan bersama satu kelab merupakan perkara biasa jika di saingan luar negara namun ia merupakan satu pencapaian mengagumkan untuk pemain Liga Malaysia (Liga M) susulan bilangan perlawanan yang sedikit.
2024 menjadi tahun bersejarah buat beberapa pemain Liga Super apabila berhasil merekodkan 100 penampilan bersama pasukan masing-masing dan ia juga merupakan simbolik kesetiaan kepada kelab.
1) Duo Terengganu FC (TFC)
Shahrul Nizam Ros Hasni dan Azam Azmi Murad berhasil memahat nama mereka ke dalam sejarah kelab setelah kedua-duanya berjaya merekodkan lebih dari 100 penampilan bersama pasukan di kesemua kejohanan yang dipertandingkan.
Shahrul Nizam yang melakukan debut bersama skuad Sang Penyu pada musim 2021 berjaya merekodkan 109 penampilan, manakala Azam Azmi pula hadir dengan 103 penampilan selepas membuat aksi pertama pada empat tahun lepas.
Ia semestinya menjadi sebuah ingatan buat mereka disamping ia bakal menjadi motivasi buat tonggak lain terutama pemain muda untuk melakukan perkara yang sama bersama pasukan ini.
Jika Shahrul Nizam dijangka akan terus bersama kelab pada musim depan namun lain pula cerita buat Azam Azmi yang akan beraksi buat Johor Darul Ta’zim (JDT) pada musim 2025/2026 susulan sudah menyertai Harimau Selatan pada awal musim.
2) Giancarlo Gallifuoco (KL City FC)
Gallifuoco di Kuala Lumpur pada 2021. — Facebook/KLCity
Bek tengah Kuala Lumpur (KL) City FC, Giancarlo Gallifuoco tiba di ibu kota pada 2021 dan tiada siapa sangka pemain kelahiran Australia itu berhasil merekodkan pencapaian ke-100 bersama skuad The City Boys.
Aksi menentang Sri Pahang yang berkesudahan 0-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di Cheras, Kuala Lumpur pada 27 Julai lepas menjadi aksi ke-100 buat bekas pemain Tottenham Hotspurs itu.
Tiga final dalam tempoh empat tahun termasuk satu trofi Piala Malaysia 2021/2022 bersama skuad warga kota itu pastinya satu pencapaian yang boleh dibanggakan buat pemain berusia 30 tahun tersebut.
Pencapaian diraih Gallifuoco pastinya menjadikan bek tengah yang sudah meledak empat gol dan satu bantuan itu membuatkan dia layak untuk berada dalam senarai antara pemain import legenda Kuala Lumpur.
3) Aliff Haiqal Lau
Tonggak tengah Selangor FC, Aliff Haiqal Lau turut merekodkan sejarah untuk dirinya sebagai pemain bola sepak apabila berhasil merekodkan 100 penampilan bersama skuad Gergasi Merah pada Disember lepas.
Aliff Haiqal menyertai skuad The Giants pada 2020 dan kini bermain dalam musim ke-5 untuk Selangor FC. Pemain tengah itu merupakan tonggak untuk Selangor 2 dan dinaikkan pangkat ke skuad senior pada 2020.
Pada awalnya, pemain berusia 25 tahun berkenaan jarang mendapat peluang beraksi sebagai tonggak utama namun semakin menyerlah dan memperoleh minit permainan di bawah kendalian Katsuhito Kinoshi.
Sejak Kinoshi menjadi pengendali Gergasi Merah pada November lepas, pemain muda itu diberi peluang beraksi penuh 90 minit sebanyak tiga kali iaitu ketika perlawanan menang 4-0 ke atas Cebu, aksi menentang skuad Jang dan Perak FC.
Ia merupakan peningkatan yang baik untuk tonggak tengah itu susulan sebelum ini Aliff Haiqal banyak dimasukkan sebagai pemain gantian sahaja dan beraksi kurang 30 minit sahaja.
4) Rafael Vitor
Vitor menyertai Harimau Kumbang pada Januari 2020. — Facebook/PenangFC
Kemenangan 3-0 ke atas Kelantan Darul Naim (KDN) FC pada 1 Ogos 2024 menjadi malam yang cukup sempurna buat ketua pasukan Penang FC, Rafael Vitor apabila dia menjaringkan gol dalam penampilan ke-100 bersama kelab itu.
Sejak menyertai Harimau Kumbang pada Januari 2020, tiada siapa menyangka bek tengah Brazil itu akan kekal di Pulau Pinang untuk satu tempoh yang lama tanpa mengira masa susah mahupun senang.
Nama pemain berusia 31 tahun berkenaan akan sentiasa mekar dalam kalangan penyokong Harimau Kumbang sebagai antara pemain import yang sentiasa konsisten beraksi baik setiap musim.
Selama lima tahun bersama skuad berpangkalan di Pulau Mutiara itu, Vitor sudah meledak 15 gol dan enam bantuan jaringan buat Penang FC. Ia merupakan rekod membanggakan untuk seorang pemain pertahanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram