BOLA PEGUN kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Super musim 2024/25.
LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) tidak boleh mendakwa ia bersolidariti dengan Faisal Halim. Tindakan-tindakan badan pengelola Liga Malaysia (Liga M) itu tidak menunjukkan ia bersimpati dengan penyerang berusia 26 tahun itu yang menjadi mangsa kejadian simbahan asid 5 Mei lalu.
Malah, ada dua waktu berbeza untuk MFL menunjukkan yang ia juga punya empati terhadap pemain dan pasukan yang terjejas oleh kejadian di luar jangka itu. Malangnya, pada kedua-dua kesempatan, MFL ternyata gagal.
Klik Di Sini Untuk Artikel Penuh
BACA LAGI: CEO Selangor jawab sebab Gergasi Merah tiada stadium, tak agresif berdialog terbuka
BACA LAGI: Sultan Selangor murka keputusan MFL, Shahril Mokhtar letak jawatan dalam FAM
Lebih buruk lagi, apabila ia turut membabitkan kepentingan Johor Darul Ta’zim (JDT), sesiapa saja boleh mengagak kepada pasukan mana kecondongan pendirian dan keputusan MFL yang urusan hariannya dikendalikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Datuk Stuart Ramalingam.
Mungkin keterlaluan untuk menyerkap jarang MFL sebagai ‘berada di bawah telunjuk’ tetapi tindak-tanduknya juga tidak memberi banyak pilihan untuk peminat bola sepak memiliki pandangan berbeza.
Sama ada ia disukainya atau sebaliknya, MFL sudah lama terpalit dengan stigma ia tidak bersifat neutral ketika sesuatu keadaan di luar jangka menuntut ia lebih bertimbang rasa dan memiliki empati terhadap pasukan yang memerlukan.
Faisal, dalam kejadian pada 5 Mei lalu, melecur tahap empat di sebahagian tubuhnya – muka, leher, lengan dan rusuk — selepas diserang dengan asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pasar raya di Kota Damansara.
Tidak jelas keadaannya ketika itu melainkan digambarkan oleh pelbagai laporan media kemudian bahawa tubuhnya berbalut seperti mumia dan menanggung kesakitan seolah-olah kulit dan dagingnya sedang terbakar secara berterusan.
Dr Johan mendapat panggilan telefon mengugutnya sebagai mangsa dalam serangan simbahan asid.
Laporan polis dibuat Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon, yang mendapat panggilan telefon mengugutnya sebagai mangsa dalam serangan simbahan asid berikutnya, meletakkan seluruh pasukan dalam ketakutan.
Lagipun, tidak jelas ketika itu motif serangan asid berkenaan sama ada ia hanya menyasarkan Faisal seorang, Dr Johan atau pemain-pemain lain sama. Gara-gara ketidakpastian itu, seluruh pasukan berada dalam keadaan tertekan.
Didorong oleh pertimbangan itu dan kebimbangan terhadap keselamatan, Selangor FC memohon kepada MFL agar perlawanan Piala Sumbangsih dengan JDT di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada 10 Mei ditangguhkan ke satu tarikh lain.
Mengambil kira perlawanan itu juga dikira sebagai perlawanan pertama Liga Super musim 2023, MFL — bersandar kepada jaminan keselamatan daripada pihak berkuasa, termasuk Ketua Polis Johor, Komisioner Polis M Kumar — menolak permohonan Selangor FC itu dan menetapkan perlawanan diteruskan seperti dijadualkan.
Itu harus kesempatan pertama buat MFL menunjukkan empati kepada Faisal dan Selangor FC kerana penangguhan akan dilihat bertepatan dengan suatu kejadian di luar jangka. Namun, tiada solidariti dengan Faisal ditunjukkan MFL.
Sebarang jangkaan untuk JDT — pemenang Piala Sultan Ahmad Shah lapan kali termasuk enam tahun berturut-turut sejak 2018 — menunjukkan solidariti dengan Selangor FC dijawab CEO JDT, Edwards, yang berkata kelab itu kecewa dengan keputusan pasukan lawan. Harus menambah koleksi piala adalah lebih utama.
Gara-gara ketidakhadiran Selangor FC untuk perlawanan itu, MFL memberi kemenangan ‘walkover’ kepada JDT dengan jaringan 3-0 dan mendapat tiga mata bagi perlawanan Liga Super. Itu pun sudah suatu bentuk hukuman.
“Menangis tengok – Netizen pilu lihat gambar pemulihan muka dan anggota badan Faisal Halim,” kata satu tajuk berita mengenai pemain itu yang membuat kemunculan kali pertama dalam satu sidang akhbar pada 13 Jun selepas insiden simbahan asid ke atasnya lebih sebulan sebelum itu.
Dalam sidang media itu, Selangor FC turut berkongsi kronologi dan situasi semasa membabitkan Faisal. Dapat dilihat jelas keadaan luka di tangan dan parut di muka pemain itu yang menceritakan seribu satu kesengsaraan yang dialaminya.
Rata-rata netizen yang melihat perkongsian gambarnya meluahkan rasa pilu dan mengecam tindakan pelaku yang telah melakukan perbuatan kejam terhadap individu yang tidak bersalah.
Namun, belum pun lama impak daripada sidang media itu, MFL pada Selasa mendenda Selangor FC RM100,000 kerana tidak hadir dalam perlawanan Piala Sumbangsih. Pasukan itu juga dipotong tiga mata dalam saingan Liga Super 2024/2025 dan perlu membayar pampasan kerugian ditanggung JDT selaku pasukan tuan rumah perlawanan pembukaan itu.
Tidak cukup dengan itu, perlawanan Liga Super minggu 14 di antara Selangor dan JDT di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pula akan berlangsung tanpa penonton. JDT nampaknya untung berkali-kali sambil Selangor FC akan menanggung kerugian berganda-ganda.
“Di saat pasukan yang kita sayangi ini dilanda musibah dan malapetaka, MFL memilih untuk menghukum dan menzalimi pasukan yang masih lagi terkejut dan resah dengan insiden tidak bertamadun ke atas tonggak kami, Faisal Halim,” kata ADUN Taman Medan, Afif Bahardin, sebagai menyimpulkan hukuman tambahan berkenaan.
Reaksi paling keras datangnya daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang menyuarakan rasa dukacita dengan keputusan yang dikeluarkan MFL itu.
“Beta amat murka dengan keputusan terbaharu MFL ini yang beta anggap tidak bertanggungjawab, dibuat tanpa ihsan, tidak berperikemanusiaan dan tidak mempamerkan keprihatinan terhadap kezaliman yang berlaku,” titah baginda dalam satu kenyataan.
Keputusan MFL pada Selasa itu menyerlahkan kesempatan kedua yang MFL terlepas untuk menunjukkan lebih empati.
Mujur pendirian terbaru MFL hari ini yang memutuskan untuk mengurangkan denda daripada RM100,000 kepada RM60,000, membatalkan pemotongan tiga mata terhadap Selangor FC serta membenarkan semula penonton dalam perlawanan Selangor FC-JDT di Stadium MBPJ nanti menyusul sebagai penyelamat.
Jika tidak, MFL harus kekal dengan stigma sebagai pengelola liga yang langsung tidak bertimbang rasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram