KEBELAKANGAN ini, arena bola sepak tanah air banyak dikaitkan dengan DNA Sepanyol terutama selepas kelab elit Liga Malaysia (Liga M) iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) mengejutkan penyokong dengan saga perpindahannya.
Harimau Selatan pada minggu lalu mengumumkan kemasukan bekas tonggak Real Madrid, Jese Rodriguez dengan pemain berkenaan dibawa masuk untuk menambah variasi di bahagian serangan JDT terutama untuk saingan Kejohanan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).
Tidak cukup dengan pemain berpengalaman beraksi dengan kelab gergasi seperti Paris St Germain, Sampdoria, Stoke City dan Real Betis itu, JDT juga baru-baru ini dikaitkan akan membawa masuk bekas tonggak Barcelona iaitu Sandro Ramirez.





