PEMERGIAN seorang figura politik berpengaruh di Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengejutkan rakyat Malaysia, khususnya penduduk negeri Di Bawah Bayu.
Allahyarham, 66, menghembuskan nafas terakhir pada pukul 1.46 pagi Jumaat ketika menerima rawatan di Hospital Gleneagles, Kota Kinabalu, Sabah.
Bung Moktar dikenang sebagai ahli politik Sabah yang lantang bersuara di Dewan Rakyat serta disenangi rakyat, khususnya di kawasan yang diwakilinya iaitu Parlimen Kinabatangan.
Klik Di Sini Untuk Artikel Penuh
Beliau juga baru sahaja memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Lamag dalam Pilihan Raya Negeri ke-16 (PRN16) baru-baru ini.
BACA LAGI: Nafuzi ‘berpeluh’, 3 kelab enggan lepas pemain utama harung Sukan SEA
BACA LAGI: Bukan sekadar 3 mata, aksi hadapi PDRM ibarat pemanas badan Sabah menjelang final Piala FA
Sepanjang khidmatnya, Allahyarham bukan sahaja terkenal dengan ketegasan, malah sebagai wakil rakyat yang sering membantu masyarakat tanpa mengira publisiti.
Bekas Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Jelani Hamdan yang pernah berkhidmat bersama Allahyarham menyifatkan pemergian itu sebagai kehilangan besar.
“Rasa sedih dan pilu menerima perkhabaran kehilangan seorang pemimpin yang lantang bersuara di Parlimen tetapi mempunyai perwatakan lembut, penyayang dan ikhlas kepada sahabat, keluarga dan rakyatnya,” katanya.
Jelani berkongsi bahawa kepimpinan Bung Moktar banyak memberi impak positif kepada pembangunan bola sepak Sabah.
“Saya bertuah pernah berkhidmat untuk beliau di SAFA sebagai Setiausaha Agung dan Naib Presiden, serta di Sabah FC sebagai Pengarah.
“Kepimpinan beliaulah yang menjadikan pasukan bola sepak Sabah, terutamanya Sabah FC dan Pasukan Bola Sepak Wanita Sabah, disegani dan dihormati semula. Walaupun kelihatan tegas dan keras, itu hanya semasa perbahasan di Parlimen atau pentas politik.
“Hakikatnya, beliau seorang yang lembut, penyayang, pemurah dan ringan tangan membantu yang memerlukan. Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan di syurga Allah SWT. Al-Fatihah. Amin,” tambahnya.

Tangkap layar Instagram Kim Swee.
Selain itu, bekas pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee turut berkongsi rasa kehilangan di laman Instagramnya.
“Pemergiannya meninggalkan kesunyian yang tiada kata mampu mengisinya, tetapi pengaruhnya akan terus bergema dalam kehidupan mereka yang pernah disentuhnya.
“Saya akan sentiasa bersyukur atas perjalanan yang kami lalui bersama dan kebijaksanaan yang beliau kongsikan sepanjang perjalanan itu. Semoga Allah menempatkan beliau dalam kedamaian, beliau tidak akan pernah dilupakan.
“Kepada @curnieawan dan keluarga, saya merakamkan takziah yang mendalam. Semoga kalian diberi kekuatan dan ketenangan dengan mengetahui betapa tinggi rasa hormat orang ramai terhadap beliau,” katanya.

Ucapan daripada Tae-su dan Khairul Fahmi Che Mat.
Bekas pemain Sabah FC, Park Tae-su dan penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat turut berasa terkesan dengan pemergian Allahyarham.
“Salam takziah atas pemergian Datuk Seri Panglima Bung Mokhtar Radin. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya dan menempatkannya dalam kalangan orang yang beriman.
“Senyuman dan kebaikannya yang sentiasa menghangatkan hati tidak akan saya lupakan,” kata Tae-su.
“Seorang figura yang hebat, pejuang Sabahan yang sentiasa berjuang demi masyarakat dan tanah airnya. Semoga Allah merahmati roh arwah, mengampuni segala dosa-dosanya dan memberi ketabahan kepada seluruh keluarganya,” ujar Khairul Fahmi pula.
Allahyarham Bung Moktar Radin akan terus dikenang bukan sahaja dalam dunia politik, tetapi juga sebagai tokoh yang meninggalkan legasi besar dalam pembangunan bola sepak Sabah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti diTwitter,Facebook,Instagram,WhatsApp Channel dan Telegram





