BERITA mengenai kecederaan dialami Faisal Halim akibat simbahan asid menyaksikannya berkemungkinan terpaksa melupakan separuh daripada saingan musim 2024/25.
Dia yang kali terakhir beraksi dalam saingan Selangor Asia Challenge dilaporkan terpaksa berehat lebih daripada enam bulan sementara menunggu cedera akibat lecuran sembuh.
Jadi, saingan Liga Super boleh dikatakan kurang berseri tanpa kelibatnya yang berkali-kali menjadi watak utama buat Selangor FC dalam kempen musim lalu.
Klik Di Sini Untuk Artikel Penuh
BACA LAGI: Cedera ACL tak patahkan semangat Amylia cipta nama bersama Malaysia Dugong sampai ke Jepun
BACA LAGI: Kem Selangor malang lagi, 3 ubi muda jadi taruhan jika Reziq Bani cedera teruk
Nasib malang Faisal menyaksikannya terpaksa berehat untuk kira-kira enam bulan.
Lebih mengecewakan lagi, tonggak Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi juga masih belum diturunkan setakat ini akibat kecederaan hamstring dialaminya.
Meskipun ketiadaannya tidak terlalu dirasai dalam pasukan, penyokong amat tertunggu-tunggu untuk melihat kelibat pemain sayap berkenaan yang memegang takhta Pemain Paling Bernilai buat tiga tahun berturut-turut.
Ketiadaan kedua-dua bintang bola sepak negara itu akibat kecederaan sudah cukup untuk menjadikan kempen Liga Super musim ini kurang berseri jika hendak dibandingkan dengan tahun-tahun lalu.
Namun, apa yang ramai penyokong tidak sedar adalah bahawa terdapat tiga lagi pemain yang masih belum beraksi berikutan tahap kecergasan masing-masing.
1. Azam Azmi Murad
Pada jendela perpindahan lalu, bek kanan muda, Azam Azmi Murad menjadi bahan bualan ramai selepas pemain terbabit mengesahkan dia sudah menyertai skuad Harimau Selatan dari Terengganu FC.
Bagaimanapun, dengan JDT masih memiliki beberapa pilihan lain di posisi tersebut, dia kemudiannya dipinjamkan untuk tempoh semusim ke kelab lamanya itu.
Namun, setakat ini, kelibat pemain kelahiran Pulau Pinang itu tidak kelihatan buat skuad Sang Penyu akibat kecederaan dialami pada perlawanan akhir Piala Malaysia yang lalu.
Azam Azmi mengalami kecederaan jangka masa panjang sejak musim lalu. — Facebook/Terengganu FC
Kehilangannya mendesak pengendali pasukan, Tomislav Steinbruckner membuat uji kaji dengan meletakkan Safwan Mazlan atau Alif Zakaria di posisinya.
Meskipun Terengganu FC masih memiliki rekod cemerlang dalam aspek pertahanan, kehilangan Azam Azmi sudah tentu dirasai dalam benteng pasukan Pantai Timur itu.
Jadi, dengan saingan Liga Malaysia akan menjadi lebih hangat selepas ini, kelibat bek berusia 23 tahun terbabit sudah pasti diharapkan dapat dilihat segera.
2. Alif Izwan Yuslan
Dalam saingan Selangor Asia Challenge yang lalu, seorang pemain muda skuad Gergasi Merah, Alif Izwan Yuslan mengalami masalah kecederaan yang dikhuatiri akan menyebabkannya tersisih untuk satu tempoh.
Kegusaran itu akhirnya disahkan pihak kesihatan Selangor FC setelah dia terpaksa menjalani pembedahan metatarsal, sekali gus menyaksikannya tersisih untuk enam minggu.
Walaupun kurang meraih minit permainan musim lalu, pemain berkenaan masih membuktikan ketajamannya di hadapan pintu gawang dengan dua gol dijaringkan.
Alif Izwan terpaksa melupakan aksi Liga Super untuk enam minggu. — Facebook/Selangor FC
Jadi, sumbangannya sudah tentu diharapkan dalam kempen kali ini, lebih-lebih lagi dengan pasukan Lembah Klang itu kehilangan khidmat Faisal Halim.
Lebih merisaukan lagi, pemain sayap import, Reziq Bani Hani turut mengalami nasib sama seperti Alif apabila cedera dalam satu kejohanan persahabatan di Indonesia.
Situasi sedemikian sudah tentu akan merisaukan ketua jurulatih, Nidzam Jamil yang terpaksa memikirkan jalan terbaik untuk memastikan jentera serangan tidak tumpul.
3. Miguel Cifuentes
Jentera serangan skuad Sang Badak dikhuatiri akan tumpul selepas ini apabila penyerang utama, Darren Lok disahkan cedera sehingga menyaksikannya tersisih daripada aksi Harimau Malaya.
Isu tersebut nampaknya bukanlah sesuatu yang baharu buat kelab Borneo berkenaan apabila mereka mengalami nasib sama dalam minggu pembukaan Liga Super 2024/25.
Salah seorang yang difahamkan berada dalam situasi itu ialah pemain serba boleh, Miguel Cifuentes yang kali terakhir beraksi buat Sabah FC adalah dalam saingan Piala AFC menentang Macarthur FC.
Cifu masih belum beraksi buat skuad Sang Badak musim ini. — Facebook/Sabah FC
Meskipun tiada laporan sahih mengatakan situasi sebenar import dari Sepanyol itu, masalah kecergasan pernah menimpanya sejak menyertai arena bola sepak tanah air.
Selain itu, kelibatnya juga tidak kelihatan di sesi latihan, sekali gus menguatkan lagi teori orang ramai bahawa Cifu kini berada dalam fasa rehabilitasi.
Bagaimanapun, dengan skuad Sang Badak memiliki lambakan penyerang berkualiti, kehilangannya tidak terlalu dirasai buat skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram