KHABAR angin mengatakan bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi akan berhijrah ke Iran untuk menyertai gergasi di negara itu, Persepolis FC masih hangat diperkatakan meskipun sudah menjadi tajuk utama pada minggu lalu.
Meskipun tiada laporan rasmi mengenainya, penyokong di negara Timur Tengah terbabit masih sibuk mengatakan perkara itu kerana masing-masing amat tertarik selepas melihat kebolehannya di pentas Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite.
Selain kagum akan statistik jaringannya, pemain berusia 22 tahun terbabit mempamerkan aksi memukau kerana kerap mengelirukan pihak lawan dengan gelecakan yang sungguh asyik untuk disaksikan.
Klik Di Sini Untuk Artikel Penuh
BACA LAGI: ‘Kalau pindah takut kena peram’, ada fans JDT tak setuju Arif Aiman berkelana ke Iran
BACA LAGI: Jurulatih Persepolis cari pengganti bintang Iran, sedia tebus kontrak Arif Aiman?
Khabar angin perpindahan Arif Aiman ke Iran hangat diperkatakan di media sosial. — Instagram
Bagaimanapun, Arif Aiman seperti enggan untuk memeterai perpindahan itu disebabkan perbezaan kualiti dikhuatiri akan menyebabkannya sukar menyesuaikan diri dengan gaya permainan yang pasti lebih mementingkan aspek fizikal.
Di samping itu, pengalaman lalu menyaksikan pemain lokal berdepan kesukaran setiap kali berkelana ke luar negara kerana pada akhirnya, masing-masing lebih kerap diletakkan di bangku simpanan berbanding beraksi di atas padang.
Namun, sekiranya pemain Harimau Malaya itu menerima tawaran serius daripada Persepolis, dia tidak boleh mensia-siakan peluang tersebut dengan orang ramai turut menyokong perpindahan terbabit.
Malah, penghijrahan ke Iran bakal menyaksikan Arif Aiman berpeluang bertemu tiga bekas pemain Liga Perdana Inggeris (EPL) yang kini menghabiskan baki karier di rantau terbabit.
1. Gael Kakuta
Revolusi dilancarkan Chelsea bermula 2004 menyaksikan mereka membawa masuk beberapa prospek bersinar dari sekitar Eropah, termasuk Gael Kakuta yang disambar tiga tahun kemudian dari kelab Perancis, Lens.
Pada ketika itu, pemain sayap tersebut boleh dilabel sebagai antara prospek terhangat kerana memiliki kepantasan memukau serta gaya permainan matang meskipun usianya baru mencecah 16 tahun.
Kakuta sedang mencurahkan pengalamannya di Iran bersama Esteghlal. — Agensi
Bagaimanapun, sepanjang hampir lapan musim di kelab London terbabit, Kakuta hanya sempat beraksi sebanyak enam kali memandangkan dia lebih kerap dipinjamkan ke serata Eropah, termasuk Perancis dan Itali.
Jadi, selepas kontraknya bersama The Blues berakhir, pemain itu mengambil keputusan menyambung kariernya di beberapa negara lain seperti di China dan Sepanyol sebelum menyertai kelab Iran, Esteghlal pada awal tahun lalu.
Di peringkat liga, Kakuta sudah merekodkan 13 penampilan dengan satu bantuan jaringan dicatatkan, namun impak masih belum disaksikan sepajang empat kali dia beraksi dalam ACLE.
2. Steven Nzonzi
Kemuncak kepada karier Steven Nzonzi bukanlah sepanjang enam musim yang dihabiskan di EPL kerana sepanjang tempoh berkenaan, dia gagal memberi impak ketara buat dua kelab diwakilinya iaitu Blackburn Rovers dan Stoke City.
Namun, selepas meninggalkan liga itu pada 2015, pemain tengah tersebut mula mendapatkan rentak, lebih-lebih lagi selepas membantu gergasi Sepanyol, Sevilla FC menjulang Liga Europa UEFA 2015/16.
Nzonzi (depan) membawa warna-warni tersendiri Liga Iran bermula Ogos 2024. — Instagram/Sepahan FC
Peningkatan ketara itu turut menyaksikan skuad antarabangsa Perancis memberikan peluang baginya pada kempen Piala Dunia 2018 dengan lima penampilan diraih Nzonzi dalam pertandingan terbabit.
Pingat emas yang diraih sekali gus meletakkan pemain berusia 36 tahun itu sebagai antara bintang import paling berkualiti beraksi dalam Liga Iran sejak dia menyertai Sepahan FC pada Ogos tahun lalu.
Malah, dalam kesemua pertandingan musim ini, Nzonzi sudah diturunkan sebanyak 19 kali, termasuk enam penampilan dalam ACL Two yang membuktikan kepentingannya buat skuad bimbingan Patrice Carteron itu.
3. Aboubakar Kamara
Selain memiliki khidmat Nzonzi, Sepahan FC turut mempunyai seorang lagi bekas pemain EPL iaitu Aboubakar Kamara yang pernah menghabiskan lima musim di kelab London iaitu Fulham FC.
Meskipun hanya mencatatkan 24 penampilan secara keseluruhan dalam liga ternama itu, pemain antarabangsa Mauritania tersebut diingati peminat kerana pernah terlibat dengan isu perebutan sepakan penalti dengan rakan sepasukannya, Aleksandar Mitrovic.
Kamara masih belum mencetak jaringan bersama Sepahan dalam Liga Iran. — Agensi
Jadi, selepas tidak lagi menjadi kegemaran penyokong, dia mengambil keputusan untuk berkelana sebanyak beberapa kali, termasuk perpindahan secara pinjaman ke kelab Perancis, Dijon pada 2021.
Selepas berkali-kali berpindah, Kamara akhirnya menemui cinta baharu di Iran apabila menyertai Sepahan pada Ogos tahun lalu yang menyaksikannya beraksi di samping Nzonzi.
Kehadirannya tidaklah memberi impak besar kerana masih belum menjaringkan sebarang gol dalam liga, namun berjaya membantu pasukannya menduduki tangga kedua selepas 15 perlawanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram