DESAS-DESUS kuat mengatakan Sri Pahang FC akan menjadi pasukan terbaru dibubarkan dengan tiada penafian dibuat terhadap laporan yang terus terpampang di dada akhbar kebelakangan ini.
Keputusan itu diambil selepas terdapat masalah kewangan dialami skuad Tok Gajah sehingga pemain tidak menerima bayaran gaji untuk beberapa bulan dengan tiada sebarang tindakan diambil.
Meskipun terdapat desakan daripada penyokong untuk melihat isu itu diselesaikan, sikap berdiam diri diambil pihak pengurusan menyebabkan masa depan kelab terbabit kian kelam.
Klik Di Sini Untuk Artikel Penuh
BACA LAGI: Kedah sedia turun liga, Sri Pahang bakal tarik diri?
BACA LAGI: Sepakan penalti Bergson tewaskan Sri Pahang, 2 ‘midfield’ lokal JDT dilabel ‘penghancur game’
Satu kerugian sekiranya skuad Tok Gajah menarik diri daripada Liga Super musim depan. — Facebook/Sri Pahang FC
Jadi, tidak hairanlah apabila baru-baru ini, laporan terus menyebut pasukan Pantai Timur itu tidak akan bersaing dalam Liga Super musim depan walaupun 10 musim lalu, mereka amat digeruni.
Sekiranya keputusan itu dimuktamadkan, pemain skuad Tok Gajah pasti akan segera mencari majikan baharu pada jendela perpindahan akan datang dengan sebahagian daripada mereka memiliki kualiti mengagumkan.
Ini termasuk tiga pemain yang wajar disambar pasukan pencabar Liga Super kerana kebolehan masing-masing boleh menutup kekurangan dalam pasukan berpotensi selepas ini.
1. Stefano Brundo (Perak FC)
Kecederaan menyaksikan pemain tengah Argentina, Stefano Brundo tidak dapat diturunkan dengan kerap dalam skuad Tok Gajah setakat ini dengan ketiadaannya amat dirindui.
Manakan tidak, sepanjang musim 2023, dia yang juga boleh beraksi dalam barisan pertahanan kerap membawa ancaman terhadap gawang lawan melihat kepada kebolehannya dalam situasi bola mati.
Tidak cukup dengan itu, ketinggiannya yang mencecah 1.91 meter (m) menjadikannya sasaran ketika rakan sepasukan membuat hantaran jauh ke dalam kotak penalti lawan.
Brundo memiliki kebolehan dalam mencipta jaringan buat skuad Tok Gajah. — Facebook/Sri Pahang FC
Ciri-ciri itu menjadikannya aset bernilai sekiranya skuad Tok Gajah terbubar dengan kelab-kelab Liga Super pasti akan segera cuba membawa masuk bintang berusia 31 tahun berkenaan.
Namun, melihat kepada pilihan yang dimiliki, Brundo wajar memilih Perak FC sebagai destinasi baharunya memandangkan pasukan Utara tanah air tersebut amat memerlukan pemain sepertinya.
Kebolehannya untuk diturunkan sebagai pemain tengah bertahan atau bek tengah menjadikannya sasaran ideal buat skuad The Bos Gaurus (TBG) yang mengalami isu pilihan terhad dalam kedua-dua posisi itu.
2. Nor Azam Azih (Selangor FC)
Ura-ura mengatakan Nor Azam Azih akan meninggalkan skuad Tok Gajah bukanlah sesuatu yang baharu kerana ketika di zaman kemuncaknya, terdapat khabar angin menyebut dia akan berkelana ke Johor Darul Ta’zim (JDT) atau Selangor FC.
Bagaimanapun, kesetiaan dilaungkan pemain tengah berkenaan kekal sehingga hari ini apabila dia memasuki tahun ke-10 bersama pasukan berkenaan selepas mencipta debut pada 2015.
Sepanjang tempoh itu, anak jati Maran, Pahang itu sudah mencetak lebih daripada 200 penampilan buat pasukan keramat tanah air terbabit dengan pelbagai kejayaan dikecapi.
Kualiti Nor Azam Azih masih belum pudar meskipun dirundung isu kecederaan. — Facebook/Sri Pahang FC
Namun, kebelakangan ini, peluang Nor Azam dalam skuad Tok Gajah sudah semakin terhad dengan isu kecergasan menyaksikannya sukar berada dalam kesebelasan utama lebih kerap.
Situasi itu menguatkan lagi ura-ura bahawa pemain berusia 31 tahun itu bersedia untuk meninggalkan Sri Pahang FC dengan penyokong juga pasti merelakan keputusan terbabit.
Destinasi terbaik buatnya adalah dengan menyertai skuad Gergasi Merah yang pasti tidak berdepan masalah untuk membuat tawaran berbaloi dengan masalah kecederaan akan sedikit menyulitkan hasrat itu.
3. Sean Selvaraj (Terengganu FC)
Gandingan Safawi Rasid dan Akhyar Rashid di bahagian sayap boleh dikatakan nadi utama Terengganu FC musim ini kerana kedua-dua mereka kerap mencetuskan serangan buat pasukan.
Namun, berdasarkan ura-ura, tempoh pinjaman dua pemain tersebut tidak akan dilanjutkan JDT yang masih memerlukan khidmat masing-masing, lebih-lebih lagi di peringkat domestik.
Sean Selvaraj dikenali sebagai pemain sayap lincah yang kerap mengelirukan lawan. — Facebook/Sri Pahang FC
Sekiranya Akhyar dan Safawi dipanggil semula, skuad Sang Penyu memerlukan penyerang sayap bagi musim depan dengan kepantasannya di atas padang menjadi keutamaan.
Calon terbaik pastinya Sean Selvaraj yang kini beraksi bersama Sri Pahang FC, namun kurang diberikan minit permainan disebabkan kehadiran Mykola Ahapov dan Manuel Hidalgo.
Meskipun catatannya di hadapan pintu gol tidaklah begitu menakjubkan, pemain terbabit masih memiliki kebolehan untuk mencetuskan serangan jika diberi minit permainan mencukupi.
Malah, sekiranya skuad Tok Gajah tidak lagi berada dalam arena bola sepak tanah air musim depan, Sean Selvaraj pasti akan terbuka untuk menyertai Terengganu FC terbabit. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram