ADIK kepada tonggak Negeri Sembilan FC (NSFC), Hadin Azman iaitu Nur Khalisya dilaporkan hilang sejak 26 Februari lepas dengan kali terakhir dilihat di depan Sekolah Menengah Convent, Jalan Peel, Kuala Lumpur.
Berdasarkan hebahan yang di media sosial, remaja perempuan berusia 16 tahun itu dilaporkan berpakaian kemeja T rumah sukan berwarna biru, berseluar trek hitam dan bertudung sekolah warna putih sebelum hilang tanpa jejak.
Menerusi perkembangan di Insta Story, Hadin berkongsi bahawa masih tidak menerima apa-apa khabar mengenai adik perempuannya itu dengan hari ini sudah memasuki hari ke-10 kehilangan Nur Khalisya.






