PENERBIT dan pengarah, Datuk Yusof Haslam mengimbau kembali cabaran dan kepayahan yang dilalui kira-kira 40 tahun lalu ketika mula bertapak dalam industri perfileman serta pengarahan drama.
Menurut Yusof, 72, pada waktu itu dia berdepan kekangan kewangan yang serius sehingga terpaksa meminjam wang daripada seorang kenalan isterinya yang disifatkan sebagai ‘ah long Melayu’.
Tanpa mendedahkan jumlah pinjaman diterima, Yusof mengakui cagaran yang digunakan iaitu sijil kelahiran atau surat beranak anaknya, Syamsul Yusof tidak mempunyai nilai, namun pinjaman tersebut tetap diberikan atas dasar kepercayaan.







