MENEPATI tekaan ramai, pelakon Nur Fazura diumumkan sebagai rakan kolaborasi eksklusif bagi Koleksi Raya 2026 keluaran jenama tekstil dan fesyen terkemuka, Jakel, pada malam Khamis.
Pengumuman itu sekali gus menjawab teka-teki peminat yang sebelum ini tertanya-tanya identiti wanita di sebalik teaser awal yang dimuat naik oleh jenama tersebut di media sosial, yang dianggap sebagai kejutan terakhir sempena acara eksklusif Jakel Fenomena Raya 2026.
Mencuri perhatian di pentas peragaan, Fazura tampil anggun mengenakan busana serba hitam dan ditemani anak perempuannya, Nur Fatima Aisya, sambil melambai serta menghadiahkan senyuman manis kepada tetamu yang hadir.






