PELAKON Syida Melvin nekad mempertahankan kediaman yang dibeli dan didaftarkan atas namanya selain mahu kembali menetap di rumah berkenaan bersama tiga anaknya selepas berpisah dengan bekas suami iaitu Shafiq Azim Shaheen.
Peguam syarie yang mewakilinya, Nurul Jamaliah berkata, tindakan itu diambil selepas Syida dinafikan hak untuk terus tinggal di kediaman berkenaan, meskipun pinjaman bank bagi pembelian rumah tersebut dibuat atas namanya sendiri.
Menurut Nurul Jamaliah, Syida juga terpaksa melunaskan tunggakan bayaran rumah selama empat bulan berjumlah RM25,696 selepas dihubungi pihak bank berhubung kegagalan pembayaran, meskipun dia tidak lagi menetap di kediaman itu yang ketika itu didiami oleh Shafiq sepenuhnya.








