PESERTA program Talk To My Manager (TTTM), Hadie yang juga anak kepada penyanyi Ina Naim mengakui kebanyakan penyokongnya datang daripada golongan lebih berusia kerana mereka merupakan peminat kedua ibu bapanya.
Hadie atau nama sebenarnya Ehmad Hadie Elfardie Mohd Suhaimi,17, berkata dia tidak menganggap penyokongnya itu sebagai sekadar peminat, sebaliknya sebuah keluarga yang sentiasa memberikan semangat dan doa.
“Pertama kali saya nak ucapkan terima kasih kepada golongan makcik-makcik (individu lebih berusia) yang sudi berikan sokongan.

Hadie (tengah) mengucapkan terima kasih kepada semua peminat yang memberikan sokongan.
“Saya tak rasa pun penyokong saya ini sebagai peminat tetapi mereka semua adalah keluarga angkat yang selalu mendoakan saya.
“Saya perasan peminat saya ini kebanyakannya daripada peminat arwah ayah dan ibu. Jadi mereka turunkan (peminat) kepada anaknya pula. Saya hargai semuanya,” katanya kepada mStar.






