BAHAGIAN 2
KEMUNCULAN semula artis lama dengan lagu baharu bukan perkara asing dalam dunia seni tanah air.
Namun, sejauh mana karya baharu mampu mendapat tempat dalam industri muzik semasa yang berteraskan platform digital, selain pola audiens dan citarasa pendengar yang sering berubah?
Klik Di Sini Untuk Artikel Penuh
Usaha golongan penyanyi senior muncul semula dengan lagu baharu berhak dipuji. Cuma sayangnya, majoriti karya itu seolah gagal menembusi selera pendengar dan akhirnya kurang dihargai.
Tinjauan mStar terhadap carta Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) sepanjang 10 minggu bermula 12 Jun hingga 10 September lalu mendapati tiada lagu baharu daripada artis lama yang membuat kemunculan semula tersenarai dalam kelompok 10 lagu teratas.

Saari cadangkan penyanyi lama berbincang dengan rakan industri sebelum keluar lagu baharu.
Saari tegur penyanyi senior di takuk lama
Komposer dan penerbit yang sinonim dengan ratusan lagu hits era 1990an, Saari Amri menganggap kebanyakan penyanyi senior masih terperangkap di takuk lama dan gagal membawa pembaharuan mengikut selera pasaran semasa.
Pemilik nama penuh Saari Jusoh, 60, berkata kegagalan lagu baharu berpunca daripada kualiti melodi yang cuba dipertaruhkan terlalu mendatar dan tidak memberi tarikan kepada pendengar.
"Puncanya kerana tidak ada pembaharuan. Contohnya macam Amelina, dangdut memang dangdut, tetapi janganlah bawa dangdut yang lama. Buatlah yang moden sikit sepatutnya memandangkan dia pun dah berusia.
"Macam saya pernah tengok Datuk Khadijah Ibrahim, dia buat lagu baharu tapi saya tengok biasa sahaja. Sepatutnya dia legenda, buatlah naskhah yang betul-betul gempak sebab orang mengharap. Kalau sekadar biasa sahaja keluar macam itu, orang memang tak pandang.
"Bukan masalah duit, tapi kualiti lagu terlalu biasa. Orang kita bila dengar sepintas lalu dan rasa biasa, mereka tinggalkan. Lagu sekarang pula pendek dalam tiga minit lebih, kalau terlalu biasa memang lambat untuk melekat di jiwa peminat," katanya ketika dihubungi mStar.
ARTIKEL BERKAITAN: Amelina percaya dangdut tidak perlu bergelek
ARTIKEL BERKAITAN:Eddie Hamid sanggup tunggu Eda Ezrin, enggan lepaskan lagu ‘Adek Saye Abe Sore’ kepada penyanyi lain
Tambah Saari, penggiat muzik lama perlu sedar landskap industri hiburan kini dipelopori oleh golongan muda yang menghasilkan karya-karya bertenaga.
"Sekarang ini yang banyak mendengar dan menonton adalah generasi baharu. Takkan mereka nak dengar lagu biasa yang tidak ‘catchy’? Macam mana orang nak terima?
"Penyanyi baharu sekarang ramai yang berbakat, rupa ada, suara sedap dan lagu mereka sekali dengar pun orang boleh terima. Penyanyi lama sebelum keluar lagu, patut bincang dulu dengan geng-geng lama, tanya pendapat okey atau tidak. Ini tidak, terus lancar sahaja.
"Dah lama dalam industri tapi macam tiada pembaharuan, patutnya buat yang lebih mantap dan berbeza. Bila muzik dan melodinya tidak berubah, ia nampak ke belakang," luahnya.
Artis lama berhak terus berkarya – Ajai
Lain pula pendapat Ajai. Komposer popular ini enggan menyalahkan sebilangan penyanyi lama, sebaliknya menyarankan mereka mengubah strategi dengan menyuntik susunan muzik yang lebih segar.

Ajai saran artis lama berkolaborasi dengan penggiat muda.
Ajai atau Mohamad Faizal Maas, 51, berkata setiap penggiat seni berhak meneruskan rutin berkarya dan menganggap jatuh bangun sesebuah lagu bersandarkan kepada masa yang tepat.
"Bagi saya tak salah pun kalau selagi mereka hidup, mereka mahu terus berkarya. Cuma berbalik kepada rezeki Allah. Mereka masih ada inisiatif melakukan rutin harian sebagai penyanyi dan tentu mahu suasana kejayaan itu datang kembali.
"Saya tak setuju dengan tanggapan nama mereka sukar dinaikkan kembali. Jangan kerana satu lagu tidak menjadi, terus berputus asa. Cari lagi formula pendengaran generasi baharu.
"Melodi lagu Melayu yang naik sekarang pun sebenarnya masih kekal sama, cuma perubahannya terletak pada susunan muzik. Muzik ini umpama fesyen yang bertukar setiap tahun, jadi begitulah konsep bunyian lagu," jelasnya.
Malah, Ajai turut mencadangkan supaya penyanyi lama kekal relevan dengan meneroka kolaborasi bersama baka-bakat baharu.
"Penyanyi lama ini sebenarnya sudah ada penanda aras dan kelompok peminat tersendiri, cuma ia bergantung kepada kesesuaian lagu mengikut zaman sekarang.
"Jika mereka rasa bergerak secara solo itu agak sukar, jadikan projek tersebut sebagai lagu duet bersama artis muda.
"Gabungan dengan generasi baharu adalah idea yang sangat bagus supaya karya mereka lebih mudah dikenali dan diserap masuk ke dalam persekitaran muzik hari ini," hurainya.

Eddie lihat ramai artis senior berani buat lagu baharu.
Eddie cadang ubah strategi promosi
Menurut komposer Eddie Hamid atau Abdul Hamid Adenan, 63, perubahan strategi pemasaran muzik turut memberi peluang kepada artis lama untuk mendekati kelompok pendengar baharu menerusi platform seperti TikTok.
“Saya melihat transformasi pemasaran lagu kini sudah bertukar dan kebanyakannya menggunakan media sosial seperti TikTok untuk mempromosikan lagu. Bila lagu-lagu itu FYP di TikTok maka boleh dikatakan ia diterima ramai.
“Dulu kita hanya bergantung kepada media, sekarang medium promosi semakin besar dan mudah untuk pendengar mencari lagu-lagu baharu. Saya lihat 2026 lebih ramai artis lama berani buat comeback,” ujarnya.
Tambah Eddie, perubahan sikap stesen radio yang lebih terbuka menyambut karya penyanyi senior turut mendorong ramai artis lama mengeluarkan lagu baharu.
Katanya, sebelum ini terdapat batasan tertentu dari segi umur sehinggakan lagu baharu daripada artis berusia 50 tahun ke atas sukar mendapat putaran di radio.
“Hari ini stesen radio dah mula mainkan lagu-lagu baharu daripada artis lama. Saya lihat ini adalah satu perkembangan yang baik,” kongsinya yang kini meletop dengan karya ciptaannya iaitu Bey Soba Bey nyanyian Eda Ezrin & Den Manjo
Bagaimanapun, Eddie mengingatkan bahawa populariti artis bukan jaminan sesebuah lagu comeback akan mendapat sambutan kerana kekuatan karya masih menjadi faktor utama.

Rosmin yakin banyak faktor menentukan impak sesebuah lagu baharu.
Bukan semua lagu menjadi, tidak kira artis lama atau baharu – Rosmin
Pengerusi, Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), Rosmin Hashim melihat tidak semua penyanyi yang kembali dengan karya baharu akan mendapat sambutan sama, malah situasi tersebut turut berlaku dalam kalangan artis baharu.
Katanya, kejayaan sesebuah lagu dipengaruhi pelbagai faktor termasuk kualiti lagu dan usaha promosi yang dilakukan.
“Bukan semua artis yang buat comeback akan menjadi. Ada yang dapat sambutan baik, ada juga mungkin kurang dapat sambutan. Tapi ia berlaku kepada semua artis tak kira baharu atau lama.
“Gabungan banyak faktor dalam menentukan kejayaan sesebuah lagu, pertama adalah lagu. Kalau dapat lagu yang baik jadi untuk artis itu berjaya peluangnya lebih tinggi,” jelasnya.
Rosmin pada masa sama menekankan kepentingan media sosial dalam membantu sesebuah lagu mendapat pendedahan lebih meluas, selain sokongan daripada stesen radio.
Radio sentiasa buka ruang
Sementara itu, Pengurus Kandungan Muzik Suria FM, Borhanuddin Abdullah berkata, pihak stesen radio sentiasa membuka peluang kepada artis lama yang kembali dengan karya baharu untuk mendapatkan ruang siaran.

Borhanuddin dan Suria FM sentiasa beri ruang kepada lagu baharu.
Menurutnya, antara artis comeback yang turut diberikan peluang termasuk Ezad Lazim menerusi lagu Rasa Cinta, Tomok (Larut), Jaclyn Victor dan Siti Nordiana (Setelusnya), selain Haqiem Rusli bersama Zamani menerusi Gerimis Derita.
“Kami sentiasa membuka peluang kepada lagu-lagu artis yang membuat comeback. Pendengar sekarang dah tak macam dulu kerana mereka banyak pilihan. Kalau mereka nak lagu boleh saja terus ke YouTube atau platform digital lain, tak perlu minta lagu di radio.
“Kalau dulu memang pendengar akan hubungi stesen radio atau SMS minta lagu. Zaman sekarang dah tidak seperti ini. Mereka hanya dengar apa saja lagu yang diputarkan dan tiada demand,” katanya.
Mengulas lanjut, Borhanuddin berkata pemilihan lagu untuk siaran di radio bukan semata-mata berdasarkan nama dan populariti seseorang artis, malah turut mengambil kira kualiti lagu dan strategi promosi.
Katanya, pada kebiasaannya pihak label atau pengurusan artis akan menghantar karya baharu kepada stesen radio untuk dinilai oleh pasukan muzik sebelum diputuskan sama ada lagu tersebut sesuai untuk diputarkan kepada pendengar.
“Sebenarnya bukan saja pada lagu, bergantung juga bagaimana cara mempromosikan lagu tersebut.
“Kalau lagu tidak dipromosikan dengan baik dan stesen radio putarkan kepada pendengar, tetap tidak akan mendapat impak yang besar,” ujarnya.
Menurut Borhanuddin, setakat ini belum ada lagu daripada artis yang membuat comeback berjaya menerima permintaan tinggi daripada pendengar radio.
Katanya, walaupun lagu berkenaan masih boleh dimainkan di stesen radio dan mendapat perhatian pendengar, keadaan itu tidak semestinya diterjemahkan kepada jumlah permintaan lagu yang tinggi.





