ARTIKEL

Velvet Nafi Bercerai Dengan Rich

Oleh Asraf Aided

PENYANYI Sabah, Velvet Aduk menafikan dakwaan kononnya dia telah bercerai dengan vokalis kumpulan Estranged, Rich.

Velvet atau nama kelahirannya Velvet Lawrence Aduk, 37, akui rumahtangganya dan Rich, 42, masih bahagia, dia juga kesal dengan dakwaan segelintir pihak yang menyebarkan gosip itu.

Bekas bintang program realiti Akademi Fantasia musim keempat (AF4) itu menjelaskan orang ramai tidak sepatutnya menilai situasi rumah tangga seseorang itu hanya berdasarkan perkongsian di media sosial semata-mata.

“Kami masih bersama, tidak bercerai pun. Itu yang boleh saya katakan di sini. Saya dan Rich masih hidup bahagia dengan anak-anak kami.

“Dalam rumah tangga bukan semuanya indah-indah. Itu sudah menjadi lumrah dan rahsia suami isteri.

“Mungkin kehidupan kami dinilai hanya berdasarkan perkongsian di media sosial. Memang sejak kebelakangan ini saya jarang kongsi foto bersama Rich namun saya tetap memberikan fokus kepada kehidupan bersama suami dan anak-anak di rumah,” katanya kepada Team Showbiz Suria.

Velvet ditemui di sidang media Konsert Sounds of Borneo anjuran Dewan Filharmonik Petronas, kelmarin.

Mengulas lanjut, Velvet kini lebih selesa untuk tidak terlalu menunjuk tentang kehidupan peribadi kepada khalayak ramai kerana khuatir mengundang kesan kurang baik.

“Soal kehidupan peribadi yang melibatkan suami dan anak-anak, biarlah menjadi privasi. Pada usia sekarang, saya sedar kehidupan saya tidak perlu terlalu bersandar kepada media sosial semata-mata.

“Dengan cara itu, saya rasa lebih tenang. Tak perlu kongsi semua perkara untuk dilihat orang. Sekarang, saya selesa untuk kongsi hal kerja dan lain-lain saja di media sosial,” jelasnya.

Kata Velvet, spekulasi tentang rumah tangganya itu bukan hanya diperkatakan di media sosial malah turut menerima soalan sama apabil muncul di khalayak.

“Saya pernah ditanya secara berdepan oleh seseorang, saya pun jawab sajalah perkara sebenar yang kami masih bersama,” katanya lagi.

Velvet dan Rich mendirikan rumah tangga pada 2008 dan mereka menjalani kehidupan berkeluarga di kampung halaman di Sabah.

Hasil perkahwinan, mereka memiliki empat cahaya mata iaitu Joshua, 15, Caroline, 14, Keanu, 10 dan Denika, 7.

Konsert Sounds of Borneo bakal menampilkan persembahan mantap daripada tiga ikon Borneo iaitu Velvet, Marsha Milan dan Alena Murang.

Ia bakal berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas pada 7 September 2024.

Tempahan tiket boleh mula dibuat menerusi emel boxoffice@dfp.com.my.

Dari kiri: Marsha, Alena Murang dan Velvet.

Alena Murang Dewan Filharmonik Petronas DFP Hiburan Konsert Konsert Sounds of Borneo Marsha Marsha Milan Penyanyi trending Velvet Velvet Aduk viral

0%