Oleh Khadijah Ibrahim
VOKALIS utama New Boyz, Tomok tidak dapat menahan rasa sebak apabila melihat begitu ramai penonton ke Konsert New Boyz 25th Anniversary yang berlangsung di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), Sabtu lepas.
Tomok yang mendendangkan 28 buah lagu nostalgia kumpulan yang ditubuhkan pada 1999 itu tidak sangka beliau dan rakan-rakan mampu mengadakan persembahan di pentas sama yang pernah menyaksikan barisan artis ternama seperti Dato’ Seri Siti Nurhaliza, Dato’ Seri Rossa, Melly Goeslaw dan Ziana Zain beraksi.
Jelas Tomok atau Shah Indrawan Ismail, 40, beliau sangat terharu terkenangkan perjalanan New Boyz yang mengorak langkah dengan hanya lagu-lagu pop ‘tangkap lentuk’ mampu berada di pentas berprestij seperti Plenary Hall.
“Saya tak pernah terfikir New Boyz boleh berada di pentas yang sama pernah ditampilkan artis handalan lain. Saya juga sebak sebab konsert kami full house. Terima kasih kepada peminat dan sahabat-sahabat yang sentiasa menyokong kami selama 25 tahun.
“Rata-rata dulu 1999 semua masih lagi sekolah rendah dan menengah sudah tentu banyak memori. Saya ada juga dapat DM (direct message) daripada peminat yang datang dari Singapura, Brunei dan Indonesia. Dari Arab Saudi dan Macau pun ada sebab peminat itu bekerja di sana,” katanya kepada Team Showbiz Suria FM selepas konsert berkenaan.
Antara lagu yang mengimbau nostalgia dendangan Tomok pada malam itu adalah Sejarah Mungkin Berulang, Meraung, Lukamu Lukaku Jua, Hadir Di Sisi, Dia, Ke Puncak Impian, Persis Kejora, Hiasan Di Laman Rindu, Lolita, Bicara Tentang Setia, Iye Iye Iyo, Sarena Cintaku, Kejora, Kau Abadi Selamanya dan Norkia. Pada malam itu, Tomok turut mendendangkan lagu baharu, Memori Mungkin Berulang berduet dengan Siti Nordiana.
Selain Tomok, New Boyz turut dianggotai Lan (gitar), Zimi (gitar), Afiez (gitar), Zack (bass) dan Ristoe (dram).
Jelas Tomok lagi, selepas di Kuala Lumpur, New Boyz akan mengadakan konsert berskala besar di Singapura pada Oktober ini dan kemudian berehat.
“Selepas konsert di Singapura, New Boyz akan berehat sebab tahun lepas kita dah ada dua konsert besar, tahun ini pun kita ada dua konsert besar. Bagi saya, kalau konsert back to back pun tak best juga. Kita kena ada masa untuk berehat supaya peminat tertunggu-tunggu persembahan kita.
“Jadi, kita kena rehat setahun atau dua tahun supaya bila buat konsert peminat datang ada perasaan rindu dengan setiap anggota New Boyz. Itu yang kami buat keputusan untuk berehat sekejap lepas habis konsert,” kata Tomok.
Pada konsert yang berdurasi selama tiga jam itu, Tomok turut memberi kira-kira 100 patung teddy bear yang besar dan kecil kepada penonton bertuah.
“Sebenarnya idea nak bagi teddy bear ini timbul sebab dulu kalau New Boyz kalau balik show mesti bawa balik anak patung beruang ni atau rantai yang diberi oleh peminat. Jadi saya rasa untuk konsert ini kita bagi balik walaupun tak semua boleh dapat tapi ini adalah kenangan zaman dulu,” katanya puas dapat menghibur peminat.
Pada konsert itu juga, anak Tomok, Arrian Shah Akid, 12, turut diberi peluang untuk menyanyi bagi memenuhi permintaannya.