ARTIKEL

Tarik Diri Sebab Gangguan Mistik? Ini Jawapan Azira De Fam

Oleh: Asraf Aided

ANGGOTA kumpulan De Fam, Azira Shafinaz, enggan mengulas lanjut tentang desas-desus mengatakan dia berdepan gangguan mistik hingga terpaksa menarik diri daripada program The Hardest Singing Show, baru-baru ini.

Sebelum ini khabar angin telah bertiup dalam industri hiburan mengatakan Azira menjadi mangsa kepada amalan mistik sehingga mengganggu konsentrasi dan kesihatannya untuk bertanding dalam pertandingan sensasi itu.

“Saya minta maaf, saya tidak boleh komen banyak tentang perkara ini. Apa yang terjadi kepada saya hanya untuk pengetahuan pihak pengurusan, doktor dan pihak penerbitan program sahaja.

“Kalau bab ‘mandrem’ (ilmu hitam) seperti yang dikatakan itu, saya tidak tahu dan tidak pandai. Terpulanglah kepada masing-masing hendak cakap apa pun. Saya hanya pergi berjumpa doktor. Kalau nak cakap tentang jumpa ustaz atau mana-mana pengamal perubatan mistik, itu memang tidak berlaku,” katanya.

Dalam pada itu, Azira atau nama kelahirannya Azira Shafinaz Ramlan, 33, memaklumkan dia kini terpaksa berehat seketika daripada kerja-kerja seni yang berat untuk menumpukan lebih perhatian terhadap kesihatan dirinya itu.

“Buat masa ini, saya kena berehat dulu daripada sebarang pembabitan tugas yang terlalu berat.

“Namun untuk komitmen beberapa persembahan nyanyian, saya masih boleh teruskan sebab ia tidak memerlukan tempoh masa yang lama seperti berlakon atau menyertai pertandingan secara mingguan,” jelasnya.

De Fam ketika bertanding dalam program The Hardest Singing Show. Foto: Instagram

Apapun, Azira menegaskan bahawa keputusan menarik diri daripada The Hardest Singing Show itu telah dipersetujui oleh dua lagi anggota De Fam iaitu Cik Manggis dan Sophia Liana.

“Keputusan untuk De Fam menarik diri telah dipersetujui oleh semua anggota. Saya juga telah mengemukakan surat daripada doktor yang mengatakan saya tidak boleh meneruskan penglibatan dalam pertandingan itu atas faktor kesihatan.

“Saya harap perkara ini tidak diperbesarkan hingga mencetuskan pelbagai spekulasi. Saya mohon agar peminat berdoa yang baik-baik untuk kami De Fam,” katanya.

Foto: Instagram De Fam (untuk Rizman Ruzaini)

Sebelum ini populariti Azira begitu melonjak apabila lagu lebaran, Alamak Raya Lagi! meledak di pasaran dan filem lakonannya, Sheriff arahan Syafiq Yusof mendapat kutipan box-office lebih RM60 juta.

 

Azira Shafinaz De Fam The Hardest Singing Show

0%