Star Media Group (“SMG”), Kompas Gramedia Group (“KG Media”) dari Indonesia dan Kumpulan Syarikat Inquirer (“IGC”) dari Filipina telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk menubuhkan Konsortium Impak Kelestarian Asia (“Konsortium”) dengan satu misi untuk memupuk pengaruh mempromosikan prinsip kelestarian sebagai pendorong utama pertumbuhan ekonomi hijau di seluruh rantau ini.
Sebagai pakatan yang pertama seumpamanya, Konsortium akan menggunakan kepakaran tiga media utama ini secara strategik bagi memudahkan tindakan kolaboratif antara pemegang taruh, perniagaan, serta orang ramai secara kolektif melibatkan 123 juta orang di seluruh rantau ini.
Ketua Pegawai Perniagaan SMG, Lydia Wang yang memainkan peranan penting dalam penubuhan Konsortium, menekankan keperluan kerjasama strategik bagi membantu mempercepatkan agenda ESG bukan sahaja dalam setiap negara rakan Konsortium, tetapi juga di seluruh Asia.
“Terdapat keperluan mendesak untuk memperjelaskan dan mendapatkan sokongan bagi memudahkan perubahan yang lebih lancar ke arah penyelarasan ESG dalam amalan perniagaan. Ini susulan halangan kawal selia daripada pelbagai peraturan antarabangsa, serta standard pelaporan yang perlu dipatuhi dan diutamakan sektor perniagaan kerana ia akan memberi impak kepada mereka”.
“Dengan membina pakatan strategik ini, kami berharap dapat mengukuhkan impak dalam pelbagai bidang dan membuat perubahan menerusi objektif bersama di platform yang dimiliki oleh rakan kongsi dan Star Media Group,” katanya.
Konsortium Impak Kelestarian Asia berusaha untuk membina masa depan di mana kelestarian menjadi teras masyarakat. Ini akan dicapai melalui strategi tiga hala tuju – pendidikan, penglibatan dan komuniti yang akan dipimpin oleh setiap jenama Kumpulan – StarESG, KG Media Lestari, dan Inquirer ESG Edge.
Pendekatan Konsortium terhadap pendidikan melibatkan integrasi kelestarian dalam memberi kesedaran sosial melalui strategi media yang komprehensif merangkumi platform media cetak, digital dan sosial media.
Di bawah aspek penglibatan, pakatan tersebut bertujuan untuk merapatkan jurang antara pendatang baru dan pengamal inisiatif kelestarian yang berpengalaman dengan mewujudkan peluang dan memupuk persekitaran kerjasama bagi pertukaran ilmu dan pertumbuhan profesional.
Untuk mengukuhkan impaknya, Konsortium akan mewujudkan hubungan yang sependapat untuk bertindak sebagai suara pihak berkuasa dalam perihal kelestarian. Komuniti yang terdiri daripada pakar dan penyokong amalan ESG akan memberikan pandangan dan bimbingan, membentuk perbincangan dan menasihati pihak berkepentingan yang akan menyumbang kepada pembangunan penyelesaian
yang berkesan dan berkekalan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SMG, Chan Seng Fatt berkata dengan mewujudkan ekosistem yang betul, Konsortium ini mampu menjadi penggerak utama dalam memacu momentum, menyatukan pelbagai pihak berkepentingan, dan membentuk masa depan yang mampan untuk rantau ini.
“Menerusi Konsortium ini, kami berharap akan dapat meningkatkan penerimaan dalam kalangan syarikat-syarikat dan memberi inspirasi kepada mereka untuk menjadi sebahagian daripada gerakan ini. Ia adalah satu usaha yang harus dimulakan secara kolektif, mengubah aspirasi menjadi tindakan ke arah sifar bersih dengan berkesan dan membentuk masa depan yang mampan untuk rantau ini.”
Ketua Pegawai Eksekutif KG Media, Andy Budiman juga berkata pakatan ini akan merapatkan jurang komunikasi antara pihak berkepentingan, sektor perniagaan dan orang ramai. Ia boleh menyokong dasar dan inisiatif yang mengutamakan kemanusiaan, kesaksamaan sosio-ekonomi dan kelestarian alam sekitar.
“Pakatan ini merupakan peluang utama bagi pemimpin serantau untuk mempromosi dasar dan inisiatif yang mengutamakan kemanusiaan, kesaksamaan sosio-ekonomi dan alam sekitar,” kata Andy.
Ketua Pegawai Eksekutif IGC, Sandy Prieto Romualdez pula berkata, “Inisiatif Konsortium termasuk perkongsian topik dan penceramah webinar, seminar, perbincangan ilmiah dan acara-acara lain yang akan menggalakkan pertukaran idea inovatif dan amalan terbaik, mempercepatkan pembangunan dan pelaksanaan penyelesaian terkini untuk kelestarian.”
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Philippine Daily Inquirer, Atty. Rudyard Arbolado turut menambah, “Usaha-usaha ini menguatkan suara kolektif syarikat dan rakan kongsi, membolehkan mereka memainkan peranan yang lebih berpengaruh dalam membentuk piawaian industri, dasar dan amalan berkaitan ESG untuk manfaat peserta dan pihak pemegang taruh lain.”
Sebagai sebahagian daripada misinya, Konsortium sedia menambah rakan pakatan dan bekerjasama dengan sektor perniagaan untuk memperkukuhkan perubahan kelestarian di seluruh Rantau ini.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Konsortium dan misinya, sila layari sustainabilityimpactconsortium.asia
Konsortium Impak Kelestarian Asia juga terbuka kepada agensi media lain di seluruh Asia yang ingin menyertai misi pakatan ini dalam mengerakkan perubahan dan memberi impak untuk masa depan yang mampan.