ARTIKEL

Suria FM Cari Pelapis Industri Hiburan, Yaya Empire Angkat Martabat Penyanyi Dikir

Oleh Asraf Aided

Siri Jelajah Suria Kuasa 2 Yaya Empire berlangsung dengan meriah di lokasi pertama, Mydin Mall Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada Sabtu dan Ahad lalu.

Disaksikan kira-kira 8,000 pengunjung pada kedua-dua hari, siri jelajah besar-besaran ini membawa misi istimewa kali ini iaitu mencari pelapis dan memperkasa industri hiburan tempatan.

Menerusi aktiviti KiraOke Suria yang dijalankan pada setiap lokasi kecuali di Kelantan,  ia membuka peluang bukan saja untuk mencari penyanyi malah bakat lain termasuk penyampai dan pempengaruh.

Pengurus Besar Suria FM Roslinda Abd Majid berkata penyertaan yang diterima juga sangat menggalakkan sehingga hari ini termasuk mereka yang sanggup hadir dari jauh.

“Di Pulau Pinang saja kami menerima lebih 30 penyertaan awal sebelum disenarai pendek sehingga lima yang bersaing pada peringkat akhir yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM16,500 bagi tiga pemenang utama setiap lokasi.

“Kami juga terharu kerana ada peserta di Bukit Mertajam ini datang jauh iaitu dari Putrajaya dan Subang, Selangor untuk mencuba nasib.

“Lebih dari itu bakat yang kami cari juga bukan hanya sebagai penyanyi tetapi juga mereka yang ada personaliti dan bakat lain menerusi suara termasuk penyampai radio dan pempengaruh,” katanya kepada Team Showbiz Suria.

Lebih mesra dikenali sebagai DJ Lin, beliau berkata, orang ramai boleh mencuba nasib dan mempamerkan bakat masing-masing di tiga lokasi lain iaitu Johor, Negeri Sembilan dan Kelantan.

Pertandingan Kiraoke Suria berlangsung meriah.

 

Penyanyi Yaya Empire, Adik Wanie

Yaya Empire selaku penaja utama turut membawa misi mahu memartabatkan penyanyi dikir yang sememangnya terkenal di Kelantan.

Pengarah Urusan Yaya Empire, Nadia Mat Isa berkata, pihaknya membawa penyanyi dikir di setiap lokasi dalam usaha memperkenalkan mereka kepada peminat dan pendengar Suria FM.

“Kami mahu lebih ramai membuka mata dan menghargai bakat seni penyanyi dikir yang sangat terkenal di Kelantan dan turut popular di media sosial seperti TikTok.

“Kami sendiri di Yaya Empire memang sudah lama berkerjasama erat dan menyokong penyanyi dikir ini kerana keunikan mereka.

“Pada saya irama yang dibawa penyanyi ini juga boleh mendunia dan diterima termasuk beberapa lagu popular seperti Bey Soba Bey yang turut viral antarabangsa,” katanya.

Nadia yang mesra disapa Yaya turut teruja dalam jalinan antara perniagaan wangiannya dan dunia hiburan kerana percaya ia mampu bergerak seiring.

“Bila saya menjalin hubungan dengan Zamani dan DJ Lin sebagai contoh, saya mendapat pelanggan dalam kalangan peminat mereka.

“Seperti di Pulau Pinang sambutan yang diterima sangat baik dengan jualan mencecah lima angka untuk dua hari jelajah,” katanya.

Lebih menarik pada edisi jelajah di Kelantan kelak, Jelajah Suria Kuasa 2 Yaya Empire bakal menggunakan format pencarian bakat baharu penyanyi dikir di negeri itu menerusi pertandingan yang bakal diadakan.

Orang ramai juga bakal memenangi hadiah wang tunai seperti mana yang ditawarkan menerusi pertandingan Kiraoke Suria. Jumlah wang tunai untuk barisan pemenang akan diumumkan tidak lama lagi.

Yaya berkata, menjadi harapannya agar penyanyi dikir akan diterima baik serta lagu nyanyian mereka akan berkumandang dalam radio tempatan.

Dalam siri jelajah di Mydin Mall Bukit Mertajam, pengunjung dihiburkan oleh barisan artis popular seperti Zamani, Ernie Zakri, Haqiem Rusli, Ara Johari dan Kristal X pada konsert pada Ahad.

Perkembangan mengenai Jelajah Suria Kuasa 2 Yaya Empire akan sentiasa dimaklumkan di platform media sosial Suria FM.

Zamani dan Haqiem Rusli antara artis yang membuat persembahan.

 

Jelajah Suria Kuasa 2 Kiraoke Suria Penyanyi Dikir Suria FM Yaya Empire

0%