ARTIKEL

Reaksi Abhishek Cetus Spekulasi Pergolakan Dengan Aishwarya

Susunan Asraf Aided

AKTOR Bollywood, Abhishek Bachchan mengundang perhatian ramai apabila memberikan tanda suka (like) terhadap perkongsian tentang isu penceraian yang dimuat naik seorang penulis bernama Heena Khandelwal di Instagram, baru-baru ini.

Posting berkenaan memaparkan tajuk When Love Stops Being Easy yang turut menyentuh tentang isu penceraian pasangan yang telah mencecah usia 50-an.

Perkongsian Heena di Instagram.

 

Artikel tentang isu penceraian yang ditulis Heena.

Secara tidak langsung, reaksi Abhishek itu menimbulkan spekulasi peminat termasuk pihak media yang berteka-teki mengenai krisis rumah tangganya dengan isteri, Aishwarya Rai.

Tambahan pula beberapa hari lalu media telah melaporkan pasangan popular itu hadir secara berasingan ke majlis resepsi perkahwinan anak jutawan, Anant Ambani dan Radhika Merchant di Mumbai, India.

Menurut laporan Times of India yang memetik perbincangan warganet di laman web Reddit, reaksi anak kepada aktor legenda Amitabh Bachchan itu dikatakan hanya sekadar cara beliau menunjukkan sokongan kepada pakar kesihatan mental terkenal, Dr. Zirak Marker yang berkongsi fakta dalam penulisan Heena.

Ia kerana Dr. Marker merupakan kenalan rapat kepada Aishwarya, malah pernah tampil bersama dalam program TV iaitu Jeena Isi Ka Naam Hai tidak lama dulu.

Mengenai spekulasi hadir berasingan di majlis perkahwinan Ambani pula, Times of India turut melaporkan bahawa Abhishek dan Aishwarya serta anak mereka Aaradhya Bachchan sebenarnya tetap berjumpa ketika majlis itu sedang berlangsung.

Buat masa ini, Abhishek dan Aishwarya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan isu yang sedang tular itu.

Ini juga bukan pertama kali spekulasi kononnya rumah tangga mereka dilanda badai dilaporkan media. Ia sudah mula diperkatakan sejak tahun lalu namun pasangan berkenaan masih menjalankan kehidupan sebagai suami isteri sehingga kini.

Meninjau akaun Instagram Abhishek dan Aishwarya pula, kedua-duanya masih memaparkan foto berdua termasuk bersama Aaradhya yang dimuat naik April lalu.

Foto keluarga di akaun Instagram Aishwarya.

 

Abhishek juga berkongsi tersebut pada hari sama.

Imbas kembali, Abhishek dan Aishwarya mendirikan rumah tangga pada 20 April 2007. Aaradhya yang merupakan anak tunggal mereka kini berusia 12 tahun.

 

Kredit Foto: Bollywood Life

 

Abhishek Bachchan Aishwarya Rai Aktor Artis Bollywood Bollywood Divorce Rumours Gossip Khabar Angin Pelakon Rumah Tangga Spekulasi

0%