ARTIKEL

Randai Mampu Ubah Fokus Kanak-Kanak Terhadap Gajet

Oleh Asraf Aided

Acara seni seperti randai mampu mengurangkan keasyikan generasi muda terhadap penggunaan gajet.

Hakikat ini kerana mereka akan lebih menumpukan perhatian kepada aktiviti dunia sebenar dan bukannya terperangkap dengan keseronokan kandungan alam maya.

Perkara ini disuarakan Yusmar Afeendi, seorang koreografer seni randai yang berjaya melatih sekumpulan kanak-kanak untuk teater muzikal Randai Mudo Pak Belalang yang bakal dipentaskan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 10 Ogos depan.

“Ketika awal sesi latihan diadakan dengan mereka, tidak dinafikan memang masing-masing tidak lekang daripada gajet mereka. Namun selepas beberapa kali berlatih mereka semakin tumpukan perhatian kepada pergerakan yang diajar.

“Di situ saya lihat perkembangan yang cukup positif dari segi kemahiran mereka untuk berkomunikasi, bercakap dan membentangkan projek. Demikian antara perubahan ketara yang dapat dilihat,” katanya kepada Team Showbiz Suria FM.

Yusmar Afeendi komited sebagai koreografer randai.

Dalam pada itu, Yusmar juga berpendapat tarian randai sepatutnya diterapkan dalam aktiviti kebudayaan di sekolah.

“Aktiviti kesenian sebegini sangat bagus andai dapat diterapkan dalam aktiviti-aktiviti di sekolah rendah dan menengah. Ia dapat membentuk jati diri sebagai golongan yang tahu tentang budaya.

“Lagipun, untuk meneruskan tradisi seperti ini, kita memang kena terapkan pada golongan kanak-kanak kerana merekalah yang akan menerajui masa hadapan,” katanya.

Untuk persembahan di DFP, tiga buah lagu dipilih menjadi lagu wajib untuk segmen ‘Buka Gelanggang’ iaitu Dayang Daini, Simarantang Rendah dan Simarantang Tinggi.

Menariknya tentang pementasan ini, ia mengetengahkan bakat kanak-kanak yang dididik untuk mencintai warisan seni tradisi.

Persembahan randai yang berasal dari budaya Minangkabau itu akan menggabungkan seni silat, muzik, lawak jenaka serta tarian di atas satu pentas.

Sejak dahulu lagi, randai sering dipersembahkan pada perayaan menuai padi, upacara perkahwinan dan perayaan lain.

Teater muzikal ini akan diserikan dengan lagu-lagu rakyat diiringi alat muzik tradisional seperti caklempong, rebana, salung dan gong.

Teater tradisional dari Negeri Sembilan ini bakal mempamerkan tarian bertenaga oleh kira-kira 20 kanak-kanak daripada kumpulan Genius Kids.

Kanak-kanak berbakat itu dilatih oleh Pewara Dance Theater, sebuah kumpulan alumni dan kakitangan Akademi Seni Budaya & Warisan Kebangsaan (ASWARA). Ia diarahkan oleh Mohd Adika Zainal.

Menurut Adika, seni randai ternyata sesuai diperkenalkan sejak peringkat kanak-kanak lagi

“Seperti yang kita tahu, kanak-kanak memang bersemangat belajar sesuatu yang baharu, mereka juga mempunyai tenaga yang cukup untuk beraksi.

“Sebelum ini, persembahan randai selalu dimainkan oleh golongan dewasa. Jadi kelainan kali ini, kita pupuk seni ini dalam kalangan kanak-kanak pula,” katanya.

Sesi pratonton kepada pihak media baru-baru ini.

Persembahan Randai Mudo Pak Belalang adalah pengisian ketiga DFP Seni Festival 2024 selepas konsert Jit Sin High School’s Chinese Orchestra (20 Julai 2024) dan Mek Mulung Putera Cahaya Bulan (27 Julai 2024).

Tempahan tiket boleh dibuat menerusi emel boxoffice@dfp.com.my.

Dewan Filharmonik Petronas DFP persembahan Randai teater tradisi tradisional

0%