ARTIKEL

PPZ-MAIWP HARGAI MEDIA SEBAGAI RAKAN DAKWAH ZAKAT DAN WAKAF

KUALA LUMPUR, 19 NOVEMBER 2026 —Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) telah meraikan hampir 200 pengamal media daripada 20 organisasi menerusi Majlis Apresiasi Media PPZ-MAIWP 2026 yang berlangsung di PARKROYAL COLLECTION Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Majlis tersebut diadakan bagi menghargai sumbangan berterusan rakan media dalam menyampaikan maklumat zakat dan wakaf kepada masyarakat, di samping mengiktiraf karya kewartawanan berkualiti serta menyantuni kebajikan warga media yang memerlukan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan yang hadir menyempurnakan majlis tersebut berkata, penjelasan yang disampaikan melalui media boleh menjadi titik permulaan seseorang untuk memahami dan menunaikan tanggungjawab zakat.

“PPZ-MAIWP menyediakan khidmat nasihat, membantu pengiraan dan menyediakan saluran pembayaran. Rakan-rakan media pula membantu masyarakat mengetahui serta memahami kemudahan tersebut. Kami menyediakan khidmat, saudara dan saudari membantu mendekatkannya kepada mereka yang memerlukan. Begitulah kita saling melengkapi,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada rakan media daripada pelbagai agama, budaya dan bahasa atas kesudian mendalami isu zakat dan wakaf serta mengetengahkan kisah masyarakat yang mendapat manfaat daripadanya.

Menurut beliau, kerjasama antara kerajaan, institusi, media dan masyarakat itu mencerminkan nilai ihsan dalam Malaysia MADANI, dengan setiap pihak menyumbang mengikut kemampuan serta kepakaran masing-masing.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengerusi MAIWP, Datuk Haji Syed Kamarulzaman Syed Kabeer; Pengerusi PPZ-MAIWP, Dato’ Haji Ahmad Azam Ab Rahman serta Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Haji Abdul Hakim Amir Osman.

Anugerah Inspirasi Media Iktiraf Karya Berkualiti

Majlis itu turut menyaksikan penyampaian Anugerah Inspirasi Media PPZ-MAIWP 2026 bagi menghargai pengamal media yang telah menghasilkan karya berkualiti dalam meningkatkan kefahaman, kesedaran dan keyakinan masyarakat terhadap zakat dan wakaf.

Dilaksanakan dengan kerjasama Malaysian Press Institute (MPI) sebagai rakan strategik, anugerah tersebut melibatkan penilaian panel juri berpengalaman bagi karya yang diterbitkan antara 15 Ogos 2025 hingga 31 Ogos 2026.

Bagi Kategori Media Cetak dan Portal Berita – Berita dan Rencana, wartawan Sinar Harian, Muhamad Tarmize Mohd Nor, telah dinobatkan sebagai johan. Naib johan menjadi milik Mohd Nazmi Yaakub daripada Berita Harian, manakala Muhammad Basir Roslan daripada BERNAMA meraih tempat ketiga. Dua hadiah saguhati pula diberikan kepada Latifah Arifin daripada Berita Harian dan Muhammad Afiq Mohd Asri daripada BERNAMA.

Bagi Kategori Televisyen dan Video Dalam Talian – Berita dan Laporan Khas, pasukan TVS yang dianggotai Muhammad Hafeezzur Rahman bin Muzamir, Muhammad Afiq bin Johari dan Muhammad Hazim bin Abdul Mutalib telah meraih gelaran johan. Mohd Izuandi Jaludin daripada RTM Labuan muncul sebagai naib johan, diikuti Afiey Azaman daripada Astro AWANI di tempat ketiga. Hadiah saguhati diberikan kepada Abdurrahman Kunyu daripada TV AlHijrah dan Mohd Zulhanizam daripada RTM Labuan.

Johan bagi setiap kategori menerima wang tunai RM3,000, manakala naib johan dan pemenang tempat ketiga masing-masing membawa pulang RM2,000 dan RM1,000, berserta trofi. Setiap penerima saguhati pula memperoleh wang tunai RM500.

Anugerah Khas turut diberikan kepada wartawan See Hua Daily News, Lo Pei Ling, yang menerima wang tunai RM500 berserta trofi. Pengiktirafan ini bagi menghargai satu-satunya penyertaan daripada media bukan berbahasa Melayu pada edisi kali ini, sekali gus menggalakkan penyampaian maklumat zakat kepada masyarakat berbilang bahasa dan latar belakang.

Bantuan Zakat dan Sumbangan Wakalah Sokong Kebajikan Media

Dalam majlis yang sama, bantuan zakat bernilai keseluruhan RM35,099 telah disampaikan secara simbolik kepada empat penerima asnaf dalam kalangan warga media dan petugas sokongan, termasuk seorang penerima dari Wilayah Persekutuan Labuan.

Bantuan tersebut merangkumi sokongan kewangan, keperluan perubatan, peralatan khas untuk anak kurang upaya serta tambahan kos pembelian kaki palsu, mengikut keperluan penerima dan keluarga masing-masing.

PPZ-MAIWP turut menyalurkan sumbangan wakalah berjumlah RM70,000 kepada 14 badan kebajikan dan surau organisasi media, dengan setiap penerima memperoleh RM5,000. Sumbangan melalui dana pemegang wakalah MAIWP itu bertujuan menyokong usaha menjaga kebajikan warga kerja serta mengimarahkan aktiviti surau di organisasi berkenaan.

Dalam pada itu, YB Senator Dr. Zulkifli Hasan turut mengalu-alukan penyertaan lebih ramai warga media Muslim yang layak berzakat untuk menunaikannya melalui potongan gaji bersama PPZ-MAIWP dengan sokongan pihak majikan.

Melalui kemudahan Wakalah Majikan, organisasi media yang memenuhi syarat boleh memohon pengembalian sebahagian zakat kakitangan yang ditunaikan melalui potongan gaji untuk diagihkan kepada asnaf yang layak, termasuk dalam kalangan warga kerja sendiri, tertakluk kepada kelayakan dan ketetapan agihan.

“Zakat yang ditunaikan bersama boleh menjadi sumber kelegaan buat rakan sekerja yang sedang diuji. Kita mungkin duduk di pejabat yang sama, tetapi tidak selalu mengetahui beban yang dibawa oleh insan di sebelah kita,” ujarnya.

Penganjuran Majlis Apresiasi Media PPZ-MAIWP 2026 itu telah memperkukuh kerjasama dengan rakan media agar maklumat zakat dan wakaf terus disampaikan secara tepat, mudah difahami dan dekat dengan kehidupan masyarakat.

-TAMAT –

MENGENAI PPZ-MAIWP 

Pusat Pungutan Zakat (PPZ-MAIWP) adalah sebuah agensi yang dilantik oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk mengutip zakat  harta di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya. Sejak ditubuhkan, PPZ-MAIWP telah merevolusikan pengurusan zakat menerusi  pendekatan korporat, efisien dan mesra pelanggan, menjadikannya antara institusi zakat paling progresif di Malaysia. PPZ-MAIWP menyediakan  pelbagai saluran bayaran zakat secara dalam talian dan fizikal, bagi memudahkan umat Islam menunaikan kewajipan berzakat dengan lebih mudah,  cepat dan selamat. 

Selain kutipan zakat, PPZ-MAIWP turut diberi tanggungjawab untuk mengurus kutipan wakaf tunai bagi pihak MAIWP. Wakaf tunai ini disalurkan ke  pelbagai program pembangunan ummah seperti pendidikan, kesihatan, kebajikan dan pemerkasaan ekonomi asnaf. 

Untuk maklumat lanjut, sila layari www.zakat.com.my atau www.wakafwilayah.com.my 

UNTUK PERTANYAAN MEDIA, SILA HUBUNGI: 

NORAZLINA MOHD NORDIN, Pengurus Kanan Komunikasi Korporat, 019 728 3839 

NOR ATHIRAH MOHD HANAPIAH, Eksekutif Komunikasi Korporat, 013 456 2603 

NUR ALIYAH MOHAMAD ZAIZI, Eksekutif Komunikasi Korporat, 019 422 9535