ARTIKEL

Pintu Hati Bella Astillah Belum Terbuka Untuk Mana-Mana Lelaki, Anak Tetap Jadi Keutamaan

Oleh Asraf Aided

PELAKON dan penyanyi Bella Astillah masih belum bersedia untuk menjalin cinta dengan mana-mana lelaki buat masa ini.

Meskipun kerap dikaitkan dengan pelakon Muaz Zabir dan penyanyi Daniesh Suffian, Bella akui hubungannya dengan dua jejaka kacak itu tidak lebih daripada sahabat baik.

Kata Bella, dia kini lebih bahagia menumpukan sepenuh perhatian terhadap dua anaknya, Ayden Adrean, 7, dan Ara Adreanna, 4.

“Baik Muaz atau Daniesh, kedua-duanya adalah sahabat saya. Rasa cinta saya tertumpu kepada Ayden dan Ara. Sekarang masih belum masanya untuk saya menjalin cinta dengan mana-mana lelaki.

“Lebih baik saya jaga diri dan anak-anak saya selain mencari rezeki untuk keluarga. Anak-anak saya pun makin membesar, sekarang sudah bersekolah, jadi keperluan pun akan bertambah,” katanya kepada Team Showbiz Suria baru-baru ini.

Bella dan Muaz hanya berkawan baik. Foto: Instagram

 

Daniesh Suffian. Foto: Instagram

Bagaimanapun, Bella atau nama kelahirannya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 30, bersikap terbuka dan menerima pandangan segelintir peminat yang menyukai jika dia membuka pintu hati untuk jejaka baharu dalam hidupnya.

“Saya faham ada peminat yang suka jika saya bercinta dengan jejaka yang mereka rasa sesuai, apapun saya mohon orang ramai untuk doakan yang baik-baik saja untuk saya,” katanya lagi.

Menjawab pertanyaan lain, Bella mengatakan kehidupannya sejak bergelar ibu tunggal baik-baik saja.

“Syukur Alhamdulillah, kehidupan saya baik-baik saja setakat ini. Lagipun, keluarga saya pun memberi sokongan dalam pelbagai aspek kehidupan saya. Dengan adanya mereka, saya memang tak bersendirian.

“Saya hanya mahu jadi ibu yang terbaik untuk dua anak saya. Saya ingin lakukan tanggungjawab sebaik mungkin dan selebihnya, saya hendak jalani hidup dengan tenang,” ujarnya.

Perkembangan terbaharu, Bella muncul dengan single terbaharu berjudul Tapi Bukan Denganmu. Selain mendendangkan lagu tersebut, Bella juga bertindak selaku penulis lirik yang berjaya menyentuh emosi pendengar.

Menariknya, video muzik lagu tersebut menampilkan beberapa figura terkenal termasuk Ellie Suriaty Omar dan ahli parlimen Muar, YB Syed Saddiq sebagai penampilan istimewa.

“Saya rasa lebih puas apabila menyanyikan lagu hasil tulisan sendiri. Saya harap agar lagu ini diterima baik oleh orang ramai. Insya-Allah, saya akan kongsikan beberapa lagi berita baik tentang perjalanan muzik saya dari semasa ke semasa,” katanya pada hujung wawancara.

Bella Astillah Daniesh Suffian Muaz Tapi Bukan Denganmu

0%