Oleh Asraf Aided
Pereka fesyen Nik Amri menafikan dakwaan segelintir pihak yang mengatakan dia melakukan perbuatan khurafat ketika pementasan koleksinya di acara Precious Of Malaysia International Cultural Fashion Week (ICFW) berlangsung di Menara Affin @TRX, 3 Ogos lalu.
Pada hari pertunjukan, Nik yang membawa jenama Kin by Nik hangat diperkatakan di media sosial kerana menampilkan seorang wanita berselubung kain hitam dan berperwatakan seakan bomoh. Wanita itu membawa semangkuk bunga melur bersama asap seperti kemenyan. Malah ada juga desas desus mendakwa perbuatan ‘mandrem’ sengaja dilakukan olehnya sebagai untuk memenangi pertandingan tersebut.
Namun menurut Nik, segala dakwaan itu tidak benar sama sekali. Katanya, apa yang dilihat orang ramai itu hanyalah gimik pementasan semata-mata.
Katanya, salah faham itu timbul kerana ada pihak yang tidak menonton video penuh secara keseluruhan ketika pementasan itu.
“Memang benar saya bawa wanita berpakaian hitam itu ke pentas pertandingan, tetapi tugasnya hanyalah untuk melakonkan watak yang diberikan, dan itu hanyalah gimik sebelum koleksi penuh saya dipersembahkan.
“Asap yang dibawa wanita itu juga bukanlah kemenyan, ia hanya ais kering dan diserikan dengan taburan bunga Melur.
“Saya memang tak guna ‘Mak Esah’ (perbomohan) atau apa-apa perbuatan khurafat kerana itu hanyalah gimik semata-mata. Saya masih tahu dosa pahala sebagai umat Islam,” katanya kepada Team Showbiz Suria FM.
Kata Nik lagi, itu bukan kali pertama dia menggunakan gimik untuk pementasan rekaannya.
“Sebelum ini pun, Kin by Nik sentiasa muncul dengan elemen dramatik dalam setiap rekaan dan persembahan pentas. Untuk acara kali ini, sedikit elemen konseptual teaterikal digunakan umpama membuka panggung dan meraikan tetamu yang hadir dimulakan dengan taburan bunga klasik yang sinonim dengan masyarakat Melayu iaitu bunga Melur.
“Lagipun, gimik itu sesuai dengan tema rekaan saya iaitu Sore Soirée. Ia menggabungkan dua konsep yang mana sore bermaksud senja, masa antara lewat petang dan awal malam ketika matahari mulai terbenam.
“Manakala soirée pula boleh diterjemahkan sebagai majlis malam atau pertemuan malam. Elemen misteri dalam persembahan itu hanyalah sekadar konsep untuk membangkitkan mood, tidak lebih daripada itu,” tambahnya.
Usaha keras Nik dan pasukannya ternyata membuahkan hasil kerana pementasan koleksi Kin by Nik dinobatkan sebagai Best Showcase untuk tahun ini.
Sebanyak lapan rekaan dipersembahkan menggabungkan inspirasi daripada rekaan tradisional Melayu seperti baju kebaya Kota Bharu, Baju Kebaya Riau, Baju Melayu Cekak Musang, Baju Melayu Teluk Belanga dan Kurung Kedah.
Rekaan juga dimodenkan dengan menggunakan material seperti PVC, faux leather, vinyl, poliester, tulle dan bulu palsu atau faux fur.
Beberapa rekaan moden seperti sut lelaki, jaket panjang dan ball gown turut menyelitkan elemen tradisional dengan penggunaan fabrik songket.
Selain itu, tiga jenis destar lelaki, Tanjak Cogan Daun Kopi, Tanjak Gajah Melaung dan Tanjak negeri Pahang juga diangkat dalam persembahan kali ini.
Dalam pada itu untuk kedudukan teratas, pereka muda Afiq Syazani diumumkan sebagai juara sekaligus mengetepikan pesaing hebat lain iaitu naib juara Rashid Moshi, UiTM (tempat ketiga) dan Zuramir (tempat keempat).
Selain jenama-jenama tempatan, wakil dari negara luar iaitu Indonesia dan Filipina turut memberikan saingan sengit.
Menurut penganjur ICFW, Jonathan dan Farel Mikhail dari FM Group, para pemenang bakal di bawa ke Paris tahun hadapan untuk mempamerkan rekaan mereka di ibu kota fesyen itu.
Usaha ini adalah untuk terus memartabatkan budaya Malaysia ke luar negara sekaligus memberi peluang kepada pereka muda untuk terus berkarya menghasilkan yang terbaik.
“Kalau ikut perancangan yang disusun dan telah mendapat persetujuan, mereka akan ke Paris pada Jun tahun depan.
“Dalam program itu, para pemenang ini akan bawa rekaan fesyen mereka yang bertemakan budaya Malaysia ini ke sana. Beberapa program telah diatur dan akan diumumkan kelak,” kata Farel.