ARTIKEL

Olimpik Paris 2024: Beyoncé, Taylor Swift Bakal Muncul Di Acara Penutup?

Susunan Asraf Aided

PENYANYI Hollywood popular, Beyoncé dan Taylor Swift dikhabarkan bakal membuat kemunculan pada acara penutup Sukan Olimpik Paris 2024, di Stade de France, 12 Ogos ini.

Namun memetik laporan Vogue France, khabar angin itu masih belum dapat dipastikan lagi setakat ini.

Acara tersebut dijadualkan berlangsung pada jam 9 hingga 11 malam, waktu tempatan. Untuk makluman, pengarahan artistik acara penutup diarahkan oleh Thomas Jolly, sama seperti pembukaan kira-kira dua minggu lalu.

Format penutup dibuat dengan cara yang lebih tradisional bagi menghormati acara rasmi itu sendiri. Setiap atlet akan berarak seorang demi seorang mengikut negara masing-masing.

Kemudian, persembahan diberi judul Records akan dipertontonkan kepada orang ramai. Ia berkisarkan imaginasi tentang dunia tanpa Olimpik yang tentunya disampaikan dalam cara artistik, serta memberi hasil visual menarik.

Selepas itu, acara akan diteruskan lagi dengan penyerahan Sukan Olimpik kepada tuan rumah seterusnya iaitu Amerika Syarikat.

Sesi penyerahan itu dijangka menjadi penantian ramai kerana aktor Hollywood Tom Cruise dikatakan terlibat membuat gimik persembahan.

Tom Cruise sememangnya dikenali dengan bakat melakonkan watak aksi atau stunts dalam filem francais Mission Impossible. Beliau kini dikatakan sedang membuat persediaan untuk memukau orang ramai ketika acara penutupan tersebut.

Dari segi persembahan muzik, kumpulan terkenal dari Perancis, Phoenix dan Air dilaporkan bakal membuat persembahan yang memberi penghormatan kepada muzik French Touch.

Sementara untuk kemunculan artis lain termasuk Ariana Grande, semuanya masih belum dapat dipastikan setakat ini. Spekulasi sebegini tentunya menambah keterujaan untuk peminat mereka menunggu hari kejadian selain sentiasa melihat perkembangan di media sosial.

Terdahulu, acara pembukaan Sukan Olimpik Paris 2024 pada 27 Julai mendapat perhatian ramai.

Bukan sahaja persembahan ikonik bintang ternama seperti Celine Dion dan Lady Gaga yang hangat diperkatakan, malah beberapa kontroversi yang dianggap sensitif oleh segelintir pihak juga tular di media sosial.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

2024 Beyonce Hiburan Olimpik Paris Olympic Paris Sukan Taylor Swift Tom Cruise trending viral

0%