ARTIKEL

Nadia Brian Komen Hobi Artis Muda Suka Cucuk Muka!

Oleh Asraf Aided

Bintang jelita, Nadia Brian memberi amaran kepada golongan wanita dan rakan-rakan artis yang masih muda agar tidak terburu-buru membuat suntikan kosmetik serta pengubahsuaian wajah kerana ia mempu memberikan kesan buruk di masa depan.

Nadia berkata penjagaan wajah secara semulajadi sudah memadai jika golongan berkenaan bijak memanfaatkan petua dan bahan organik yang selamat.

“Saya faham perkara seperti ini adalah hak individu, saya pun tak mahu condemn sesiapa. Namun hakikatnya semakin ramai golongan muda mula ketagih mencucuk muka mereka dan membuat tindakan yang membahayakan. Sebenarnya orang muda masih cukup kolagen, hormon pun masih lagi baik. Jadi janganlah terburu-buru, biarlah kita lakukan rutin penjagaan kulit secara normal dan selamat.

“Kalau sudah mula cucuk muka pada usia muda, memang tidak bagus sebab ia melibatkan penggunaan bahan-bahan kimia. Bimbang apabila sudah tua nanti timbul masalah lain pula sebab bahan kimia sudah banyak terkumpul dalam kulit. Mungkin kita akan memerlukan kos yang lebih tinggi untuk memperbetulkannya semula,” kata Nadia kepada Team Showbiz Suria FM ketika ditemui pada acara pra-pelancaran Kireina Wellness Center di Shah Alam, Selasa lalu.

Nadia sewaktu diwawancara Team Showbiz Suria FM.

Dalam pada itu, Nadia atau nama kelahirannya Nadia Najwa Mohamed Rashidi, 33, menasihati orang ramai untuk mencari info secukupnya sebelum membuat keputusan melakukan prosedur kecantikan pada kulit wajah.

“Sebelum lakukan sesuatu buatlah research terlebih dahulu dan jangan mudah ikut cakap orang. Biasanya orang sekeliling akan suruh cucuk sikit dahulu tapi lama kelamaan, tak mustahil boleh menjadi ketagih untuk tambah macam-macam jenis suntikan atau perubahan pada wajah.

“Kepada golongan muda yang obses dengan kecantikan, pastikan cara jaga kulit dibuat dengan betul, begitu juga pemakanan dan gaya hidup, itu semua sangat penting dan membantu untuk masa akan datang. Kalau buat suntikan, bukannya bersifat kekal malah perlu selalu tambah. Jadi, fikirlah betul-betul jangan terlalu ikut hati dan perasaan. Apapun natural beauty itu pastinya lebih baik” katanya.

Nadia juga sempat berkongsi beberapa tips yang selalu diamalkan untuk menjaga kecantikan kulit wajah.

“Saya sudah jaga kecantikan sejak berusia 16 tahun lagi, kebetulan ibu saya pun seorang pakar kecantikan. Jadi, saya selalu amalkan penjagaan kulit dengan betul dan memilih produk yang sesuai. Saya juga kerap membuat rawatan facial di spa kecantikan.

“Selain itu, tips yang tak pernah saya tinggalkan adalah meletakkan ais pada kulit muka. Cara ini dapat menyegarkan kulit, merawat keradangan dan meningkatkan kesihatan kulit wajah. Kalau nak tahu, cubalah amalkan,” ujarnya.

Perkembangan lain, Nadia kembali sibuk menjalani penggambaran beberapa drama bersiri yang akan menemui peminat tidak lama lagi.

Katanya juga, jadual kerja yang sibuk ketika ini membuatkan dia masih belum sempat mencari calon pengganti sejak berpisah dengan bekas suami, Muizz Nasruddin pada 2021.

“Saya bersedia saja untuk mendirikan rumah tangga, seperti kebanyakan wanita lain, saya juga mahu memiliki cahaya mata dan hidup berkeluarga. Cuma buat masa ini, saya belum mengenali sesiapa dengan rapat. Saya sudah memberitahu ibu saya, juga meminta ibu doakan supaya saya bertemu jodoh lagi kerana doa ibu memang afdal, insya-Allah harapnya dimakbulkan,” katanya.

Artis Artis Buat Muka Cucuk Muka Komen Letak Ais Pada Muka Malaysia Nadia Brian Nadia Brian Beri Komen Selebriti Tips Tips Kecantikan trending viral

0%