ARTIKEL

“Menang Cabutan Bertuah Pun Tak Pernah” – Aepul Roza Terharu Dinobatkan Sebagai Juara The Hardest Singing Show

Oleh Asraf Aided

Diacarakan oleh Nabil Ahmad dan Rina Nose, program The Hardest Singing Show telah melabuhkan tirainya malam tadi dengan menyaksikan Aepul Roza sebagai juara.

Aepul yang meraih markah tertinggi daripada juri iaitu sebanyak 82.30 membawa pulang wang tunai RM150,000 serta pakej percutian dan trofi.

Ketika persembahan solo, Aepul menyanyikan lagu It’s My Life (Bon Jovi) dengan penuh bertenaga dan meraih sorakan bergemuruh. Dalam pusingan kedua bersama Putera Muhammad, mereka mempersembahkan lagu Melompat Lebih Tinggi (Sheila On 7).

“Kemenangan ini sangat bermakna untuk saya. Sejujurnya saya tak pernah menang apa-apa pertandingan sebelum ini walaupun cabutan bertuah.

“Saya belum biasa dengan momen menjadi juara, sekarang saya masih cuba menyesuaikan diri,” katanya kepada Team Showbiz Suria FM.

Antara aksi mencabar ketika Aepul membuat persembahan. Foto: Astro

Ditanya tentang wang kemenangan, Aepul berhasrat untuk memanfaatkannya dengan betul dan memberi bahagian kepada pihak yang terlibat sepanjang dia bertanding dalam program tersebut.

“Insya-Allah, kemenangan ini adalah untuk semua yang berusaha bersama saya dalam pertandingan ini, saya ingin kongsi wang itu bersama mereka,” katanya lagi.

Aepul memberikan yang terbaik ketika beraksi di pentas akhir. Foto: Astro

Sementara itu, Ayda Jebat menyandang gelaran naib juara dengan membawa pulang wang tunai RM20,000, pakej percutian dan trofi.

Ayda menyanyikan lagu Malam Ini Kita Punya (Bunkface) untuk pusingan pertama diikuti persembahan lagu Penasaran (Krisdayanti) bersama Aisha Retno.

Tempat ketiga pula diduduki Stacy yang menyanyikan lagu Erti Hidup (Dayang Nurfaizah) dan Tak Ada Logica (Agnes Monica) bersama Zizi Kirana. Stacy membawa pulang wang tunai RM10,000, pakej percutian dan trofi.

Tempat keempat hingga keenam masing-masing diduduki Aisha Retno, Putera Muhammad dan Zizi Kirana. Kesemua mereka mendapat RM5,000 bersama pakej bercutian dan trofi.

Persembahan peserta sebentar tadi dinilai oleh Edry Abdul Halim dan Zizan Razak selaku juri tetap, ditemani Dato’ Seri Siti Nurhaliza dan Adlin Aman Ramli selaku juri jemputan.

Mengulas tentang kedudukan setiap peserta, Edry memberikan pencerahan tentang aspek pemarkahan.

“Kami menilai setiap peserta bukan berdasarkan nyanyian semata-mata kerana format pertandingan ini perlu menilai cabaran yang mereka buat dalam persembahan.

“Tentang kemenangan Aepul, dia ada ‘wow factor’ yang lebih berbanding peserta lain. Saya dimaklumkan oleh pihak penerbit, pihak juri perlu menilai semua peserta berdasarkan persembahan mereka pada malam final tanpa melihat semula pencapaian mereka dalam minggu-minggu sebelumnya, ia lebih adil untuk semua.

“Persembahan Aepul tadi telah berjaya buat penonton terpukau, dia boleh ‘cengkam’ ramai orang untuk lihat dengan penuh teruja. Itulah sebabnya Aepul dipilih sebagai juara,” jelasnya.

Aepul Roza Artis Juara Popular The Hardest Singing Show trending viral

0%