Oleh: Khadijah Ibrahim
PENYANYI Mark Adam mengaku beliau pernah dilanda kemurungan dan kebimbangan (anxiety) sewaktu menerima perkhabaran berita yang bapanya meninggal dunia di Cebu, Filipina.
Katanya, meskipun sedih kerana tidak dapat memberi penghormatan terakhir kepada mendiang bapa, beliau tetap terima ujian tersebut dengan tabah.
“Anxiety ini kita tak boleh elak lagi-lagi di masa sekarang. Hidup memang banyak cabaran dan saya pernah dapat anxiety masa ayah saya meninggal dunia. Ketika itu saya tak boleh balik ke Filipina, tapi saya perlu terima ujian ini.
“Sebenarnya, anxiety ini lebih kepada individu itu sendiri, betapa kuat seseorang itu dan kita kena percaya dengan diri sendiri dan sebahagian daripadanya berdoa pada Tuhan untuk kesejahteraan hidup.
“Biasalah dalam kehidupan mesti ada cabaran dan saya diajar untuk bersabar dan reda dengan ujian. Apa yang perlu dilakukan adalah kembali berusaha dan buat lebih baik daripada sebelum ini,” katanya kepada Team Showbiz Suria FM.
Kebimbangan atau kegelisahan ialah tindak balas biasa terhadap bahaya, iaitu tindak balas automatik badan yang dicetuskan apabila anda berasa terancam, di bawah tekanan, atau menghadapi situasi yang mencabar, seperti temu duga kerja, peperiksaan atau lain-lain lagi. Jika tidak dikawal dengan baik, ia boleh memudaratkan kesihatan mental.
Tambah penyanyi berusia 45 tahun ini, dia selesa menghiburkan hatinya dengan menyanyi sewaktu berasa sedih.
“Kalau saya tengah down, selalunya saya akan menyanyi. Alhamdulillah, saya diberikan kebolehan dalam bidang muzik dan muzik ini boleh tolong orang kurangkan anxiety. Disebabkan itulah saya buka sekolah muzik iaitu Suara Academy untuk budak-budak sampai kepada warga emas umur 75 tahun.
“Muzik ini secara tak langsung dapat mengembalikan semangat dan yang penting percaya kepada kebolehan diri sendiri. Selain itu untuk mengembalikan semangat, kita boleh melakukan aktiviti-aktiviti lain yang menyeronokkan,” katanya yang berpengalaman sebagai guru muzik di negara asalnya.
Sehubungan itu, Mark yang hadir memeriahkan majlis pelancaran Kempen Kesihatan Mental BeCalm –You Can Be Okay oleh syarikat pengeluar biskut istimewa, BeCalm Malaysia itu bersetuju dengan petikan yang digunakan dalam kempen tersebut.
Majlis pelancaran kempen itu berlangsung di Menara Star, Petaling Jaya minggu lalu. Ia dilaksanakan dalam usaha membantu rakyat Malaysia menangani masalah kesihatan mental kerana hasil tinjauan dilakukan, menunjukkan peningkatan dua kali ganda berbanding tahun 2019 dengan golongan berusia 16 hingga 29 tahun paling ramai mengalaminya.
Mark atau nama Islamnya, Fikri Mark Adam Abdullah berkata ‘You Can Be Okay’ adalah satu petikan yang positif kerana setiap apa yang kita lalui dalam kehidupan ini adalah pengalaman dan ujian.
“Dalam hidup kita tak boleh berputus asa kerana setiap perkara ada solusinya. Apa yang kita dapat dalam hidup ini adalah pengalaman dan ujian.
“Kehidupan ini adalah proses pembelajaran untuk diri dan jangan mudah putus asa. Kita kena kuatkan diri dan fikir positif selalu, jauhkan diri daripada perkara negatif,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan BeCalm Malaysia, Maisarah Abdullah Sani berkata, pihaknya terpanggil untuk melancarkan Kempen Kesihatan Mental BeCalm – You Can Be Okay selepas menyedari satu petikan yang agak viral iaitu i’ts okay not to be okay yang berkaitan dengan kesihatan mental tular dalam kalangan golongan muda.
Maisarah yang pernah dilanda kemurungan, berkata, beliau berada dalam situasi tersebut apabila disahkan mempunyai tumor dalam bahagian otak pada tahun 2007 semasa bekerja di London.
“Pada tahun 2016 saya sedar dan tidak mahu selamanya hidup dalam kemurungan. Sejak itulah saya mula mencari solusi dengan mengamalkan aswaganda dan mula menampakkan
perubahan dalam diri.
“Bertitik tolak dari situ tercetusnya idea untuk saya mencari formula untuk mengeluarkan produk makanan yang mempunyai kandungan Ashwagandha KSM66 sebagai snacking harian atau makanan tambahan yang mengetengahkan konsep snek sihat,” kata ibu kepada tiga orang anak itu.
Mengulas lanjut mengenai biskut tersebut, Maisarah berkata, produk berkenaan diusahakan dan dicipta sepenuhnya di Malaysia iaitu di Shah Alam, Selangor.
Ujarnya, selain rasanya yang sedap, biskut itu juga membantu untuk keseimbangan hormon dengan kewujudan Ashwagandha KSM66 dan pelbagai bahan sihat lain. Secara umumnya, makanan ini menjadikan kehidupan seharian kita berfungsi dengan lebih baik.
“BeCalm Cookie dihasilkan dalam tiga perisa dan fungsi yang berbeza. Kita ada Chocolate Chip Sea Salt (Chillax), Speculoos White Chocolate (Mind Flex) dan Uji Matcha White Chocolate (Vibe On),” jelasnya.