Oleh Asraf Aided
AKTRES kacukan Filipina-Melayu, Datin Seri Maria Farida bersyukur kerana masih menerima tawaran berlakon meskipun usianya sudah mencecah 55 tahun.
Menurut Maria, beliau menghargai golongan produser dan pengarah yang terus memberikan kepercayaan kepadanya untuk memegang watak-watak yang lebih matang.
“Syukur alhamdulillah, walaupun usia saya sekarang sudah melebih 50 tahun, khidmat saya masih diperlukan dalam bidang lakonan.
“Saya hargai mereka yang masih mempercayai bakat saya. Saya sedar tidak ramai pelakon-pelakon senior lain mendapat tawaran berlakon pada usia seperti saya. Saya harap akan ada rezeki juga untuk mereka selepas ini,” katanya kepada Team Showbiz Suria FM.
Maria atau nama kelahirannya,Maria Farida Atienza, juga gembira melihat senario positif dalam industri lakonan apabila pihak produksi masih memberi peluang kepada pelakon senior memegang watak utama.
“Baru-baru ini saya nampak ada seorang pengarah mengambil pelakon veteran untuk memegang watak utama dalam sebuah drama TV.
“Saya gembira kerana ia membuktikan industri kita tidak hanya mengambil pelakon muda atau yang mempunyai followers ramai sahaja di media sosial.
“Kalau kita lihat di Hollywood, senario sebegini masih diteruskan sebab itu kita masih dapat menonton Jennifer Lopez dan Julia Roberts masih beraksi walaupun usia mereka makin meningkat,” kata Maria yang juga isteri kepada Dato’ Seri Rahman Shakur.
Ditanya tentang aspek yang perlu dipertimbangkan sebelum beliau menerima sesebuah tawaran berlakon, Maria berkongsi beberapa perkara.
“Pastinya saya tengok siapa pengarahnya terlebih dahulu sama ada bagus atau sebaliknya. Kemudian saya lihat juga barisan pelakon yang lain.
“Kalau pelakon mudah bekerjasama dan tak berlagak diva pastinya saya okey saja. Kalau ada pula pelakon yang bermasalah, saya kemungkinan akan tolak tawaran itu.
“Bukan apa, kita mesti mahu kerja dalam suasana gembira dan mewujudkan chemistry dengan pelakon lain. Kita berada di set pun bukanlah sekejap, selain itu saya lihat juga pada jalan cerita,” katanya lagi.
Difahamkan, Maria mungkin mengambil tawaran berlakon untuk satu atau dua drama sahaja dalam masa setahun dan selebihnya berehat demi menumpukan perhatian terhadap keluarga.