ARTIKEL

Majlis Perasmian Karnival Alam Sekitar Peringkat Negeri Selangor 2024

Teks Ucapan Yb. Puan Jamaliah Binti Jamaluddin, Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Negeri Selangor

1 Utama Shopping Centre
Tarikh : 20 Julai 2024 (Sabtu)
Masa : 11.30 Pagi

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Malaysia Madani,

1. Pertama sekali, marilah kita panjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi, dengan limpah dan kurnianya dapat kita bersama-sama berkumpul pada hari ini Majlis Pelancaran Karnival Alam Sekitar Negeri Selangor yang dianjurkan di bawah Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Negeri Selangor dengan kerjasama Komuniti Tunas KL & Selangor dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya serta pihak 1 Utama Shopping Centre.

2. Sebelum saya berucap dengan lebih lanjut, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan terima kasih kepada Seksyen Pihak Berkuasa Tempatan – UPEN, Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Komuniti Tunas KL & Selangor dan pihak 1 Utama Shopping Centre di atas kerjasama dalam program ini. Sesungguhnya, komitmen dan sokongan terhadap usaha-usaha yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dalam melestarikan alam sekitar adalah amat dihargai.

Para hadirian yang saya hormati sekalian,

3. Pada 17hb Oktober 2018, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) telah melancarkan Malaysia’s Roadmap Towards Zero Single-Use Plastics 2018-2030. Oleh itu, Kerajaan Negeri Selangor telah memperkenalkan Pelaksanaan Kutipan Caj Beg Plastik pada tahun 2019 yang menetapkan caj 20 sen bagi setiap beg plastik yang dikeluarkan di beberapa premis dan menggariskan perancangan dan usaha kerajaan negeri ke arah sifar beg plastik sekali guna untuk persekitaran negeri yang bersih dan mesra alam menjelang tahun 2030.

4. Malah, Rancangan Selangor Pertama (RS1) juga memberi fokus kepada usaha pemacuan kelestarian di bawah Teras Ketiga telah menggariskan indikator pencapaian pengurangan intensiti pelepasan Gas Rumah Hijau (GHG) di bawah agenda kelestarian. Oleh yang demikian, bagi mencapai sasaran ini, setiap daripada kita memainkan peranan masing-masing baik secara individu mahupun secara kolektif terutama sekali dalam usaha memerangi penggunaan beg plastik sekali guna yang turut menymbang kepada pelepasan GHG.

5. Justeru, usaha-usaha yang dijalankan di peringkat Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan adalah selari dengan sasaran yang diletakkan di peringkat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri sendiri. Antara usaha berterusan yang sedang dijalankan adalah kesedaran untuk mengurangkan penggunaan beg plastik melalui pelaksanaan Kempen Bebas Plastik yang dijalankan termasuklah Karnival Alam Sekitar pada hari ini. Selain daripada bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai dalam usaha mengurangkan penggunaan plastik dan penghasilan sisa plastik, karnival ini juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang ramai untuk mengamalkan budaya hidup lestari.

Hadirin sekalian,

6. Sempena penganjuran Karnival Alam Sekitar ini, sebanyak 29 reruai yang terdiri daripada agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, peniaga kecil dan pihak swasta telah disediakan dengan menawarkan pelbagai aktiviti menarik menerusi slot pameran berkaitan kesedaran alam sekitar serta pasar-eko dengan fokus diberikan kepada: 

  • Kedai Sifar Sisa – alternatif guna semula dan biodegradasi untuk barangan harian.
  • Fesyen Mesra Alam – pakaian dan aksesori yang diperbuat daripada bahan terpakai dan mesra alam.
  • Makanan Organik – pilihan makanan yang sihat dan organik yang mempromosikan kelestarian dan keterjaminan sumber makanan.
  • Produk Mesra Alam – produk yang diperbuat daripada bahan terpakai dan mesra alam.

7. Selain daripada itu, terdapat pelbagai aktiviti yang menarik melalui bengkel-bengkel interaktif dan informatif yang turut disediakan. Antaranya Adalah:

  • Bengkel Mencanting Batik – untuk memupuk kesedaran mencintai alam sekitar melalui seni mencanting batik.
  • Bengkel oleh Kawan Guni – untuk mengenal pasti kategori kitar semula dan meningkatkan kesedaran serta pemahaman tentang amalan kitar semula yang betul.
  • Ekspedisi Rakan Bumi – pendidikan terhadap penyelesaian kitar semula dan sisa makanan yang inovatif melalui lawatan 1 Recycling Centre atau W.I.S.E.
  • Bengkel oleh Persatuan Benih Hijau – kenali tapir melalui sesi penceritaan, pameran dan aktiviti seni menggunakan tanah liat.

8. Untuk makluman semua, Karnival Alam Sekitar pada hari ini juga memberi ruang dan peluang kepada para pengunjung untuk memberi cadangan serta maklumbalas mengenai pelaksanaan Kempen Bebas Plastik Kerajaan Negeri Selangor. Melalui sesi kaji selidik ini, kami mengalu-alukan cadangan penambahbaikkan serta pelaksanaan kempen kesedaran yang efektif dan memberi impak secara menyeluruh untuk memastikan usaha dan agenda kelestarian ini dapat dicapai.

Hadirin sekalian,

9. Melalui penganjuran Karnival Alam Sekitar ini, adalah diharapkan ianya dapat menyediakan platform kepada warga Selangor untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran berkenaan pendidikan terhadap alam sekitar, melalui aktiviti-aktiviti interaktif, selain daripada pendedahan kepada orang ramai dengan memupuk budaya 5R iaitu mengurangkan sisa (reduce), mengitar semula (recycle), mengguna semula (reuse), fikir semula (rethink) dan menolak (refuse) sebagai amalan gaya hidup lestari.

10. Sebagai usaha berterusan, Karnival Alam Sekitar ini akan disusuli dengan program-program dan kempen-kempen kesedaran yang lain yang akan diadakan di lokasi-lokasi yang berbeza di sekitar Negeri Selangor sebagai usaha untuk memastikan kempen kesedaran ini dapat dilaksanakan dengan secara meluas.

11. Akhir sekali, Kerajaan Negeri Selangor ingin mengambil peluang ini untuk merakamkan penghargaan terima kasih kepada semua pihak yang bertungkus-lumus dalam penganjuran Karnival Alam Sekitar ini. Kerajaan Negeri Selangor juga sentiasa terbuka dan amat menggalakkan penglibatan dan kerjasama daripada pelbagai pihak, termasuklah agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan, pihak swasta dan masyarakat komuniti secara umum dalam menyokong usaha-usaha Kerajaan Negeri ke arah negeri pintar, berdaya huni dan makmur, selari dengan aspirasi Rancangan Selangor Pertama (RS-1) (2021-2025) di bawah tema strategik pemacuan kelestarian dapat direalisasikan dan seterusnya menyediakan persekitaran yang lebih sejahtera dan lestari buat warga Selangor.

12. Justeru itu, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Karnival Alam Sekitar Negeri Selangor 2024.

Sekian, terima kasih.

0%