Oleh Asraf Aided
Penyanyi 1970-an dan 1980-an, M Rizal, 71, telah menghembuskan nafas terakhir pada jam 10.50 malam semalam (Khamis) di kediamannya di Taman Damai Jaya, Skudai, Johor.
Allahyarham merupakan juara Bintang RTM 1978, setahun sebelum Dato’ Jamal Abdillah menjuarai pertandingan tersebut.
Ketika zaman kemuncaknya, Allahyarham dikenali dengan lagu Abang Beca yang pernah dipopularkan oleh Broery Marantika. Selain itu beliau dikenali dengan lagu Hatiku Menangis Kernamu dan Usah Kau Rayu Padanya (OST filem Sumber Ilhamku lakonan Allahyarham Datuk Sharifah Aini dan Allahyarham Latiff Ibrahim)
Team Showbiz Suria menghubungi anak beliau, Roy Faisal, 41, untuk mendapatkan butiran lanjut mengenai pemergian Allahyarham.
Menurut Roy, Allahyarham telah selamat dikebumikan pada jam 10 pagi hari ini (Jumaat) di tanah perkuburan berdekatan kediaman mereka.
“Sejak tahun lepas, arwah ayah mula dimasukkan ke hospital akibat mengalami ulser pada bahagian usus. Selepas itu, penyakit tersebut berbalik secara on-off hinggalah malam semalam.
“Sejak tiga hari sebelumnya, arwah memang tak dapat makan dan kesihatan semakin merosot,” katanya.
Ditanya sama ada Allahyarham sempat meninggalkan pesanan terakhir sebelum meninggal dunia, Roy mengatakan ayahnya kurang bercakap sejak akhir-akhir ini.
“Arwah ayah memang sudah kurang bercakap sejak dua minggu lalu, kami faham dengan keadaannya dan cuba membantu,” jelasnya.
M Rizal atau nama sebenarnya Mohd Razali Hashim, meninggalkan isterinya Salmah Musa, 74, bersama lima orang anak dan 11 orang cucu.