ARTIKEL

Lyodra Tak Takut Masuk Malaysia

Oleh Asraf Aided

JUARA Indonesian Idol X, Lyodra Ginting akui tidak takut untuk membuat konsert pertama di Malaysia meskipun negara ini sudah mempunyai ramai penyanyi hebat.

Menurut Lyodra, 21, dia melihat konsert kolaborasi bersama Afgan iaitu Ada Afgan & Lyodra: Live In Kuala Lumpur 28 September nanti sebagai peluang terbaik untuk mengenali lebih rapat peminat di negara ini.

“Setakat ini rasa takut itu tak ada sebab saya sendiri sangat mengagumi penyanyi-penyanyi hebat di Malaysia sejak dulu lagi. Antara yang saya minati tentunya Dato’ Seri Siti Nurhaliza, Ernie Zakri dan Aisha Retno.

“Saya biasa mendengar lagu mereka, kalau ada peluang suatu hari nanti, mungkin kami boleh menjalinkan kolaborasi antara dua negara, itu salah satu perkara yang saya impikan,” katanya kepada Team Showbiz Suria ketika ditemui pada sidang media konsert berkenaan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ditanya sama ada ingin melancarkan lagu terbaharu sebelum menjelang konsert untuk melengkapkan repertoir, Lyodra memberi respon positif.

“Perkara itu boleh dipertimbangkan, kalau tiada apa-apa halangan, apa salahnya,” jawabnya ringkas sambil tersenyum manis.

Ketika acara tersebut berlangsung, Afgan memberi pujian bersahaja mengatakan Lyodra bakal menggantikan penyanyi bertaraf diva di negara mereka.

Lyodra yang popular dengan nyanyian semula lagu Sang Dewi itu terharu dan akui tanggapan itu agak besar untuk dirinya.

“Terima kasih untuk pujian itu, saya terharu. Pendapat saya, itu hanya satu persepsi kerana hingga sekarang, bila ada pihak yang kata saya akan jadi diva dan sebagainya, ia memberi tekanan kepada saya.

“Saya tak pernah rasa diri saya begitu kerana perjalanan saya masih jauh,” ujarnya.

Lyodra dan Afgan berduet untuk lagu berjudul Ada yang dilancarkan kira-kira 10 bulan lalu.

Menerusi konsert anjuran Kharisma Music bersama Alha Alfa, Intan Gelombang dan Futurace itu nanti, Afgan dan Lyodra bakal menghiburkan penonton selama dua jam 30 minit dengan 20 lagu termasuk lagu duet daripada penyanyi lain.

Kira-kira 12 pemuzik profesional bakal diterbangkan khas dari Indonesia untuk menjayakan persembahan dua ikon itu.

 

Kredit foto: Instagram Lyodra

 

 

 

 

Afgan Duet Indonesia KLCC Konsert Konsert Artis Indonesia Konsert Best Kuala Lumpur Lyodra Lyodra Ginting Penyanyi Plenary Hall trending viral

0%