ARTIKEL

“Lagu Tak Semestinya Kena Nada Tinggi Saja” – Bob Yusof

Oleh Asraf Aided

PENYANYI Bob Yusof berpendapat bahawa sesebuah lagu balada yang dihasilkan tidak semestinya perlu bernada tinggi, seperti mana yang kerap didendangkan oleh ramai penyanyi tempatan.

Kata Bob, nada terlalu tinggi tidak menjamin kualiti atau kesempurnaan kepada sesebuah karya itu kerana ada banyak lagi perkara lain yang perlu diambil kira.

“Bagi saya sesebuah lagu tak semestinya perlu diletakkan pada standard tertentu dari segi tinggi atau rendah notasinya. Setiap penyanyi ada kemampuan atau range vokal yang berbeza. Lagipun, penciptaan lagu itu terserah kepada komposer yang mahu mencorakkan melodinya menjadi seperti apa yang dimahukan.

“Saya masih percaya kepada kekuatan lagu-lagu yang kedengaran cukup mendamaikan dan tidak bersandarkan nada tinggi semata-mata.

“Sebagai contoh, salah satu lagu healing yang ramai orang tahu pastinya Hasrat nyanyian Amir Jahari yang menjuarai Anugerah Juara Lagu (AJL) tahun ini,” katanya kepada Team Showbiz Suria FM.

Dalam pada itu, Bob yang juga aktif bergiat sebagai guru vokal menekankan bahawa melodi dan lirik yang dihasilkan oleh pengkarya adalah perkara yang lebih utama.

“Melodi dan lirik perlu menyatu sempurna dan memberikan impak istimewa kepada pendengar. Nada tinggi itu ikut kemampuan saja, kalau seseorang penyanyi boleh lakukannya maka mungkin ia menjadi bonus atau satu X-Factor yang lain,” jelasnya.

Menyentuh tentang kedudukannya dalam industri hiburan Malaysia yang masih kurang diberi perhatian, Bob tidak melihat perkara itu sebagai satu masalah.

Katanya, dia lebih mengutamakan kualiti kerja yakni sebagai seorang penyanyi berbanding mengejar populariti.

“Sebenarnya saya lebih selesa begini. Saya tidak suka untuk terlalu menjadi perhatian dengan publisiti dan sebagainya. Bagi yang sudah lama kenal saya mereka pasti tahu, saya memang tak kejar populariti.

“Bukan apa, saya rasa orang yang sudah berada di depan kaca TV seperti kami penggiat seni, orang memang sudah ingat.

“Apa yang saya mahu jaga adalah kerja saya sebagai penyanyi dan penghibur. Itu sudah jadi tanggungjawab saya dan pastinya anak-anak seni yang lain juga,” ujarnya.

Bob sentiasa aktif memenuhi undangan persembahan.

Buat masa ini, Bob juga sedang sibuk mempromosikan single terbaharu nyanyiannya yang berjudul Enigma.

Ia merupakan lagu runut bunyi (OST) bagi drama bersiri Dua Darjat yang sudah habis ditayangkan di TV3.

 

0%