Oleh Khadijah Ibrahim
TIDAK banyak bicara, lebih tumpukan perhatian kepada persembahannya, itulah yang ditonjolkan oleh Dato’ Amy atau Suhaimi Abdul Rahman sepanjang Konsert Search Symphonic Live In Kuala Lumpur yang berlangsung di Mega Star Arena, Sabtu lalu.
Untuk konsert itu, Search yang turut dianggotai Man Kidal, Nasir Daud dan Hillary Ang melakari sejarah tersendiri kerana pertama kali menjayakan persembahan dengan iringan orkestra besar. Malam itu, Search juga mendapatkan khidmat Jenk Ali untuk bermain dram.
Konsert yang menyatukan elemen rock dengan iringan 27 pemuzik orkestra di bawah pimpinan Dato’ Mokhzani Ismail, serta gubahan muzik oleh Rie Tsuji selaku pengarah muzik, menjadikan konsert hampir tiga jam itu meninggalkan momen indah kepada yang hadir.
Search memulakan persembahan pada jam 9 malam dengan lagu Gelora Cintaku, Langit & Bumi dan Nigina. Selesai mendendangkan Nigina, barulah Amy mula menyapa penonton.
“Assalamualaikum, apa khabar semua? Terima kasih kerana sudi hadir. Ini adalah satu-satunya konsert yang melengkapkan perjalanan simfoni kami dalam bidang seni,” kata Amy sebelum meneruskan persembahan dengan lagu Kau Pergi.
Konsert anjuran Persatuan Rekreasi Global Malaysia (PRGM) itu bukan sekadar hiburan biasa, tetapi satu perjalanan emosional yang membawa penonton kembali ke dekad 1980-an dan 1990-an, saat Search mendominasi carta-carta lagu di radio dan pentas hiburan.
Pada usia 66 tahun, Amy terbukti masih mampu memukau penonton yang rata-rata adalah peminat tegar Search yang turut sama menyanyi tatkala beliau mendendangkan lagu-lagu ikonik.
Antara lagu lain dendangan Amy pada malam itu adalah Isabella, Pawana, Rozana, Fantasia Bulan Madu yang dimainkan dengan gubahan segar yakni dalam bentuk orchestration dan simfoni.
Tidak ketinggalan, lagu-lagu lain seperti Gelora Cinta, Fenomena dan Pelesit Kota yang turut mendapat sentuhan menarik tanpa mengurangkan keaslian rock Search.
Ini membuktikan bahawa walaupun masa berlalu, muzik Search tetap relevan malah semakin evergreen.
Atas keprihatinan pihak penganjur dan produksi juga, RM10 daripada setiap jualan tiket bagi konsert ini disalurkan kepada Persatuan Karyawan Malaysia bagi membantu artis-artis yang memerlukan.
Antara artis yang hadir memberi sokongan adalah anggota Wings, Spider, Exists, Sixth Sense, Sherry Ibrahim, Neves Pretty Ugly dan Ella.