Orang ramai berpeluang menyaksikan kira-kira 400 gambar yang merakamkan pelbagai detik bersejarah antara Malaysia dan China dalam Pameran Foto Ulang Tahun Malaysia-China ke-50 yang berlangsung di pusat beli-belah Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur.
Pameran dijadualkan bermula 5 hingga 18 Ogos itu bertujuan meraikan kekayaan budaya dan hubungan sejarah antara kedua-dua negara.
Gambar dan potongan keratan akhbar merangkumi berwarna dan hitam putih yang dipamerkan di kompleks itu, menyerlahkan persahabatan dan kerjasama Malaysia dan China yang berakar umbi sejak 50 tahun lalu.
Pameran itu turut mempamerkan imej ikonik yang merakam detik bersejarah melibatkan pemimpin kedua-dua negara, antaranya momen pada Mei 1974 antara Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tun Abdul Razak Hussein dan Pengerusi Mao Zedong.
Selain itu, terdapat juga foto memaparkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden, Xi Jinping termasuk anak-anak panda, Xing Xing dan Liang Liang, yang telah memainkan peranan penting dalam meningkatkan pertukaran budaya antara Malaysia dan China.
Gambar-gambar tersebut disusun dan dipamerkan bersesuaian tema seperti era pra-penubuhan, pertukaran budaya, kerjasama dan misi kemanusiaan.
Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing berkata, kedua-dua negara telah menganjurkan beberapa siri acara perayaan sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China dan Tahun Persahabatan Malaysia-China.
Menurutnya, pameran foto sebagai salah satu acara pada kali ini juga akan membawa masyarakat menelusuri kembali perjalanan sejarah dan pertukaran lawatan sejak separuh abad lalu.
“Ini membuktikan kematangan dan kestabilan yang semakin meningkat dalam hubungan Malaysia-China di samping menjanjikan kerjasama yang lebih jitu pada masa hadapan,” katanya ketika pelancaran buku meja kopi dan Pameran Foto Ulang Tahun Malaysia-China ke-50 oleh Star Media Group dan Sin Chew Daily di Mid Valley Megamall pada Isnin.
Sementara itu, mengulas lanjut mengenai fungsi media, Ouyang menyuarakan penghargaan terhadap pengamal media khususnya daripada The Star dan Sin Chew Daily yang memainkan peranan penting dalam memperkasakan lagi usaha sama tersebut.
“The Star merupakan salah satu akhbar bahasa Inggeris yang paling laris dan berpengaruh di Malaysia manakala Sin Chew Daily ialah salah satu media berbahasa Cina paling berpengaruh di negara ini.
“Usaha bersama kedua-dua media berpengaruh ini memberi manfaat terutamanya untuk menyediakan foto-foto berharga bagi meraikan ulang tahun ke-50 ini,” jelasnya.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Star Media Group, Chan Seng Fatt; Ketua Pengarah Tourism Malaysia Manoharan Periasamy; Ketua Pegawai Kandungan The Star, Datin Paduka Esther Ng; Ketua Pegawai Perniagaan, Lydia Wang; Ketua Pengarang Sin Chew Daily, Kuik Cheng Kang dan Ketua Pegawai Eksekutif Mid Valley Megamall, Rennie Lee.
Sementara itu, Seng Fatt berkata, kedua-dua media sememangnya memainkan peranan utama dalam mendokumentasikan evolusi hubungan kedua-dua negara.
Ujar beliau, pelbagai peristiwa penting dicatat termasuk mempromosikan hubungan yang lebih mendalam menerusi editorial yang berwawasan, gambar menarik dan laporan bersifat komprehensif.
“Ia juga menjadi bukti kuasa transformatif diplomasi, penglibatan ekonomi dan pertukaran budaya,” katanya.
Berkongsi tentang buku meja kopi bertajuk Blossoming and Fruiting: 50th Anniversary of Diplomatic Relations between Malaysia and China, Seng Fatt menjelaskan, naskhah unik itu memaparkan 200 gambar merentasi 270 muka surat, menonjolkan persahabatan berkekalan dan sinergi yang semakin meningkat antara Malaysia dan China.
Beliau berkata, setiap koleksi gambar yang disusun dengan teliti menceritakan perjalanan sejarah, dengan setiap imej menangkap inti pati detik yang membentuk hubungan antara kedua-dua negara.
Pameran yang berlangsung selama 14 hari bermula Isnin itu dibuka setiap hari pada pukul 10 pagi hingga 10 malam, di tingkat bawah ruang legar pusat beli-belah Mid Valley Megamall, dengan kemasukan adalah percuma. — Majoriti