Oleh Khadijah Ibrahim
LIMA pemuzik jalanan atau buskers telah diberi kesempatan untuk muncul dalam sebuah album kompilasi yang berjudul Bintang Jalanan – Kolaborasi Album Pemuzik Jalanan.
Mereka yang bertuah itu ialah Ammal (Naib Juara Akademi Fantasia 2016), Amir (Mentor), Islah (All Together Now), Yone (antara buskers Pulau Pinang terbaik) dan Nan Blues (Otai Buskers Malaysia).
Menurut penerbit album, Ahmad atau nama sebenarnya Ahmad Abdullah, idea asal penghasilan rakaman ini tercetus sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di mana semua orang terkurung di rumah.
Tambah Ahmad, selepas mendapat idea tersebut, beliau telah usulkan kepada rakan-rakan buskers dan mereka terus bersetuju.
“Album yang mendapat dana di bawah Program Pembiayaan Muzik Independen CENDANA itu menampilkan 10 karya baharu di dalam pelbagai genre seperti folk, blues dan reggae.
“Proses penerbitan muzik dalam album ini yang dilakukan di Tunable Studio mendapat sentuhan daripada penyanyi dan pemuzik hebat, OJA yang terlibat dari susunan muzik dan dirakamkan secara profesional dari semua aspek sehinggalah adunan akhir.
“Meskipun album ini lebih ke arah komersial, saya memastikan vibes dan elemen buskers tetap terjaga baik dari segi muzik, karakter dan konsep keseluruhan. Namun ia tetap mempunyai unsur pop semasa agar mudah diterima ramai. Busking bukan sekadar muzik tapi juga attitude,” ujar Ahmad.

Antara lagu yang dimuat dalam album tersebut adalah Dengar Dan Lihat, Blues Buskers Blues (Nan Blues), Superhero, Jiwa Kacau (Yone), Keroncong Biru Untuk Rose, Biar Saja Aku Di Sini (Islah), Alam Sekitar, Ingin (Ammal) dan A Shadow Play, Lagu Baharu (Amir) serta lagu bonus Semalam Di Kuala Lumpur oleh The Columphor.
Majlis pelancaran album yang berlangsung di Program Santai Seni@TAR itu turut dihadiri oleh beberapa dif kehormat dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (KARYAWAN), Dato’ Freddie Fernandez dan penyanyi Ito (Blues Gang).

Sementara itu, Freddie berkata, Program Santai Seni@TAR yang diadakan sejak tahun lalu dengan kerjasama DBKL itu bertujuan memberi peluang kepada penggiat seni marhaen untuk berkarya.
Katanya, kebanyakan buskers yang hadir dan menjayakan persembahan di sepanjang jalan itu adalah ahli-ahli Karyawan.
“Kita ada 800 buskers di bawah Karyawan. Keunikan persatuan Karyawan, kita terima semua orang tak kira artis mana sama ada penyanyi, pelakon, komposer atau pemuzik asalkan mereka berkarya kita alu-alukan kehadiran mereka sebagai ahli. Kita dah buat sejak tahun lepas.
“Tiap kali program Santai Seni@TAR diadakan pada minggu kedua dan keempat, ada dua atau empat kumpulan buskers akan ambil bahagian. Ini peluang baik untuk mereka mendapat rezeki sikit. Kita harap program ini akan jadi lebih popular.
“Ramai daripada buskers ini dulu dalam industri, pernah buat album dan sekarang busking. Mereka pun sebahagian besar dalam industri kita juga. Setakat ini buskers yang sering menyertai program ini adalah dari sekitar Lembah Klang saja. Mungkin lepas ni kita kena berurusan dengan daerah lain juga,” katanya kepada Team Showbiz Suria FM.





