Oleh Khadijah Ibrahim
SEMPENA sambutan Maulidur Rasul pada 12 Rabiulawal 1446H, Kayangan Holdings Sdn Bhd tampil menganjurkan Karnival Healing de’ Masjid di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (Masjid Besi), Putrajaya.
Karnival yang bertemakan Muslim Hero itu akan berlangsung selama tiga hari bemula 13 hingga 15 September ini mulai jam 8 pagi hingga 10 malam.
Pengarah Eksekutif Kayangan Holding, Ahmad Fadli Abdul Hamid berkata, penganjuran itu diadakan berikutan sambutan hangat pada acara sebelum ini di Masjid Teras Jernang, Bangi yang dihadiri ribuan pengunjung dan berjaya menarik minat pelbagai pihak.
“Pelbagai aktiviti hebat disediakan yang bertujuan menjadikan masjid sebagai pusat pembangunan masyarakat yang mesra, terbuka dan mudah didekati di samping mempromosikan nilai-nilai murni,” katanya.
Tambahnya lagi, Karnival Healing De’ Masjid menampilkan konsep healing yang unik serta berbeza daripada karnival-karnival lain.
Antara keunikannya adalah Living Museum yang menampilkan Replika Rumah Rasulullah SAW, Pameran Artifaks Barangan Rasullullah, replika Masjid Nabawi dan kota Makkah.
Selain itu, pengunjung boleh merasai pengalaman simulasi Virtual Reality enam dimensi, menderma kepada dalam Tabung Derma Gergasi, menunggang unta, menaiki belon udara panas, menyertai aktiviti perkhemahan serta mencuba aktiviti sukan sunnah Rasullullah seperti memanah, berkuda dan banyak lagi.
Di samping itu, karnival ini menampilkan ramai ikon tanah air seperti Dr Haji Mohd Fadilah Kamsah, Dr Zaharuddin, The Helmis, Hazeman Huzair, Dahlia Shazwan, Adam Corie, PU Rahmat, Prof Dr Mohd Ridhduan Tee, Imam Muda Ashraf PU Amin, Daie Hakim, Ustaz Ahmad Dusuki dan Ustazah Asma’ Harun.
Di pentas utama, Malam Puisi dan Nasyid Nusantara akan diadakan pada 13 September jam hingga 8.30 malam dengan kemunculan Fedtri Yahya, kumpulan UNIC dan Rabbani.
Antara yang menarik perhatian pada 14 September, akan berlangsungnya Malam Berselawat dan Tausiyah yang diketuai Habib Ibrahim Muhammad bersama Syeikh Mahmoud Al-Wosabi dan Ustaz Syawal Nizam.
Turut selitkan juga adalah acara solidariti Fun Walk Salam Untuk Palestin bersama ikon terkenal seperti Faizal Tahir dan kumpulan Mirwana.
Pihak penganjur juga berbesar hati memberi hadiah misteri kepada pengunjung bertuah yang ke-10,001, 30,001 dan 50,001.