ARTIKEL

Hafiz Suip Kurus Bukan Sebab Hisap Dadah Tapi Kerana Bertinju!

Oleh Khadijah Ibrahim

PENYANYI Hafiz Suip, 34,  menangkis dakwaan yang mengatakan dia kurus kerana mengambil bahan terlarang.

Sebaliknya Hafiz menjelaskan berat badannya susut kerana dia menjaga pemakanan, serta aktif di gimnasium dan mengikuti sukan tinju.

“Saya tak pernah hisap dadah dan ambil benda-benda yang orang tuduh saya buat itu.  Saya menjaga kesihatan, saya pergi gym dan mula menyertai kelas tinju sejak dua bulan lalu.

“Demi kecergasan, ketahanan serta kesihatan diri saya sertai kelas tinju dan sebab itulah  kenapa saya kurus.

“Lagipun saya juga menghidap slipped disc sejak 2016 jadi inilah salah satu cara saya menjaga kesihatan diri.

“Alhamdulillah, sekarang keadaan saya okey.  Nak katakan baik sepenuhnya pun tidak kerana masalah ini tidak boleh benar-benar sembuh, jadi saya sendiri harus menjaga kesihatan,” jelasnya

Hafiz ditemui Team Showbiz Suria selepas Konsert By Ajai & Mega Friends di Megastar Arena Bukit Bintang, baru-baru ini.

Foto Hafiz bersama Ajai beberapa tahun lalu.

Tambah penyanyi lagu Bahagiamu Deritaku ini, masalah slipped disc tidak mengganggu suara namun dia memberi kesan kepada pergerakan.

“Sejujurnya kalau dari segi suara, tak memberi kesan tetapi ia sedikit sebanyak memberi impak terhadap pergerakan badan saya,” akuinya yang turut mendapat jemputan menyertai program nyanyian yang memerlukan dia beraksi lasak.

Pada konsert tersebut Hafiz menyampaikan lagu popularnya yang dicipta oleh Ajai, Ku Akui dan lagu Tak Mungkin Kerana Sayang, nyanyian asal Datin Alyah dan mendapat tepukan gemuruh.

Selain Hafiz dan Ajai, konsert terbabit turut menampilkan persembahan Dayang Nurfaizah, Aina Abdul, Hazama, Aufahanie dan Illa Sabry.

0%