Oleh Khadijah Ibrahim
MENYEDARI TikTok mempunyai pengaruh yang cukup besar dalam masyarakat, pengarah Erma Fatima semakin aktif menggunakan media sosial itu untuk kemajuan kerjaya seninya.
Malah Erma akui sanggup melanggan sesebuah drama itu apabila sudah ‘terikat’ dengan karya berkenaan di TikTok.
Lebih daripada itu Erma atau nama sebenarnya, Fatimah Rahmad Ali, 56, mahu hasilkan banyak drama pendek untuk siaran di platform berkenaan.
Sebagai permulaan, Erma menerbitkan drama komedi bersiri berjudul Jangan Tinggal Abang Dik! (JTAD), arahan Amor Rizan dengan kerjasama Elegant Cosmetics yang telah ditayangkan bermula 16 Ogos lalu.
“Drama yang ditayangkan di TikTok tempoh siarannya hanya tiga minit. Selain TikTok, JTAD juga boleh ditonton di Instagram @karyatvofficial pada setiap hari Jumaat, Sabtu dan Ahad, jam 8 malam.
“Walaupun drama ini sekejap-sekejap saja (tiga minit) tapi ada 10 episod. Saya juga amat menitik beratkan soal kualiti, pembikinannya macam buat drama yang disiarkan di TV. Ini adalah permulaan untuk saya berkarya di platform baharu. Kita beri secara percuma,” katanya kepada Team Showbiz Suria, baru-baru ini.
Buktinya, Erma menjaga kualiti karya produksinya adalah dengan menampilkan barisan pelakon yang tersohor seperti Dato’ Ady Putra, Adira Suhaimi, Nabila Huda, Elly Mazlein, Ellie Suriaty, Fathiya Latiff, Alya Iman, Datin Nerina, Malia Baby dan Shaszdan Anshar.
Tegasnya, objektif utama menghasilkan drama untuk platform media sosial adalah untuk memberi peluang kepada usahawan tempatan untuk berkarya.
“Kalau kita buat drama untuk stesen TV, karya itu tidak akan menjadi hak milik kita. Saya mahu memberi peluang kepada penerbit dan usahawan Bumiputera untuk lebih terdedah dengan drama-drama bagi tayangan di media sosial.
“Sambil-sambil itu saya juga sedang berusaha untuk mengeluarkan satu platform yang boleh diguna pakai oleh penerbit untuk menayangkan karya terbitan produksi mereka.
“Kalau tak ada aral melintang awal Oktober ini akan wujudlah platform yang sedang saya usahakan. Saya rasakan ini adalah perjuangan terakhir saya dalam industri untuk membantu penerbit menyiarkan karya-karya mereka kepada penonton dan dalam waktu yang sama mereka dapat memegang IP (harta intelek) mereka sendiri,” katanya.