Oleh Asraf Aided
PEREKA fesyen dan pemilik jenama Behati, Kel Wen mengakui pemilihan usahawan terkenal Dato’ Seri Vida (DSV) selaku muse pementasan koleksi Behati Merdeka di Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW2024) baru-baru ini adalah satu keputusan tepat.
Menurut Kel Wen atau Kelvin Tai Khai Wen, 29, karisma serta perwatakan DSV menepati kriteria koleksinya yang mementingkan semangat dan keyakinan diri atau self empowerment.
“DSV akan selalu menjadi muse untuk jenama Behati kerana koleksi kami adalah tentang self empowerment. Tidak disangkal lagi, DSV sangat menepati kriteria tersebut!
“Ini merupakan kali kedua DSV menjadi muse untuk koleksi kami. Selain untuk KLFW, DSV juga kerap menyarung rekaan Behati ketika menghadiri acara-acara besar tempatan. Jadi, kami sudah ada chemistry dan mudah untuk bekerjasama,” katanya kepada Team Showbiz Suria.
Meninjau respons netizen di media sosial pula, imej DSV di pentas berkenaan turut dipuji kerana beliau memperagakan busana bewarna campuran putih, merah, hijau dan hitam yang membawa mesej solidariti terhadap rakyat Palestine.
Mengenai koleksi Behati Merdeka, Kel Wen menjelaskan dia menonjolkan identiti Malaysia yang kuat untuk pementasan di KLFW tahun ini. Ia juga bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan yang bakal menjelang tidak lama lagi.
“Sebagai pereka fesyen Malaysia, saya rasa bertanggungjawab untuk meneruskan warisan budaya dan sejarah fesyen di negara kita.
“Saya harap dengan koleksi ini, ia dapat menggalakkan lebih ramai pereka fesyen lain untuk mengambil inspirasi daripada sejarah dan warisan budaya negara kita sendiri,” ujarnya.
Dalam pada itu Kel Wen menambah, jenama Behati sentiasa memupuk semangat kecintaan terhadap negara dalam kalangan generasi muda. Kerana itu, Kel Wen kerap menghasilkan rekaan berinspirasikan pakaian tradisional seperti kebaya, cheongsam, sari dan sebagainya.
Namun suntikan elemen moden masih tidak diketepikan agar koleksi yang ditampilkan sesuai dengan kehendak semasa.
“Apa yang saya lakukan ini adalah untuk generasi muda Malaysia. Saya mahu mereka mengenali fesyen daripada bermacam budaya di Malaysia dan menggayakannya, biarlah kita berbangga dengan asal usul kita sendiri.
“Kita tak boleh ketepikan tradisi, pakailah mengikut kreativiti dan keselesaan masing-masing.
“Bagi saya, fesyen sentiasa menjadi cara menarik untuk mengajak orang Malaysia belajar lebih lagi tentang identiti negara kita,” katanya lagi.
Selain kemunculan DSV yang meraih sorakan bergemuruh daripada hadirin, supermodel Amber Chia juga mencuri perhatian apabila memperagakan busana Behati dalam rona off white.
Pemilihan model secara keseluruhan juga wajar diberikan pujian kerana mereka terdiri daripada pelbagai bangsa dan tampil dengan saiz badan yang berbeza.
“Kepelbagaian itulah yang menunjukkan realiti dalam komuniti Malaysia yang sebenar. Semua orang ada kelainan tersendiri, kita semua hidup dalam suasana harmoni dan menghormati antara satu sama lain,” kata Kel Wen di akhir perbualan.