Oleh Asraf Aided
Penyanyi Dafi tidak pernah berputus asa dalam bidang nyanyian meskipun profil kerjayanya tidak mendapat pengiktirafan yang secukupnya.
Menurut Dafi atau nama kelahirannya Gadaffi Ismail Sabri, 36, dia masih bersemangat untuk meneruskan kerjayanya kerana memiliki minat yang mendalam terhadap muzik.
“Mungkin kehadiran saya dalam industri tak dapat pengiktirafan seperti yang diinginkan, ia langsung tidak mematahkan semagat saya, jauh sekali untuk berputus asa dalam bidang seni.
“Saya mempunyai minat yang cukup dalam, kalau sudah minat, kita tak akan rasa penat dengan apa yang kita lakukan,” katanya kepada Team Showbiz Suria.
Justeru untuk membuktikan namanya masih relevan sebagai penyanyi, Dafi muncul dengan single terbaharu berjudul Hellooo!. Ia digubah oleh Altimet sementara liriknya ditulis oleh Shazee Ishak.
“Susah lama saya tidak tampil dengan single terbaharu sehingga ada yang lupa saya sebenarnya penyanyi. Ini kerana saya lebih fokus kepada bidang lakonan.
“Memandangkan karya ini sudah lama berada dalam simpanan dan sudah dirakamkan, ini adalah masa yang terbaik untuk dilancarkan khas untuk semua pendengar di luar sana.
“Sebelum ini ada beberapa masalah teknikal yang tak dapat dielakkan dan menyebabkan pelancaran lagu ini tertangguh,” jelasnya.
Dalam pada itu, Dafi juga mengatakan hala tuju muziknya kini sudah berubah kerana dia lebih selesa mempamerkan sisi kematangan.
“Semakin dewasa dalam bermuzik, saya ini memberikan kelainan sewaktu menyampaikan sesebuah lagu.
“Dahulu saya dikenali menerusi lagu Bila Terasa Rindu, namun saya ingin bereksperimentasi dengan muzik yang sejajar dengan peningkatan usia, sekali gus memberi impak positif terhadap kerjaya.
“Single kali ini begitu istimewa kerana dihasilkan oleh dua figura yang juga merupakan idola saya dalam industri. Bagi saya, karya yang mereka hasilkan selalu mencetuskan magis, sebab itu sewaktu pertama kali mendengar lagu Hellooo!, saya terus jatuh cinta!” ujarnya.
Selain menghadiahkan peminat dengan lagu terbaharu, Dafi berharap agar dia dapat menarik peminat baharu dari kalanan generasi muda.
“Semoga lagu Hellooo! disukai ramai, pada masa sama, saya harap agar golongan muda tertarik untuk mengenali saya dan lagu-lagu yang saya hasilkan,” katanya.