Oleh Asraf Aided
VOKALIS kumpulan Caliph Buskers, Azmi Saat berkata, sudah sampai masanya dia menjadi seorang komposer kerana mahukan lebih kepuasan dalam bidang seni.
Menurut Azmi, sebelum ini dia banyak menyanyikan lagu ciptaan orang lain dan tidak pernah mencipta lagu untuk mana-mana penyanyi.
“Sepanjang berkecimpung dalam dunia seni, macam-macam juga saya sudah buat. Selain menyanyi, saya juga pernah berlakon dan menyertai program lawak jenaka.
“Tujuan saya cuba macam-macam bidang itu adalah untuk mengkaji di mana kekuatan diri saya. Apabila sudah cuba semua itu, sekarang minat saya lebih kepada bidang penciptaan lagu pula.
“Saya teringin cipta lagu untuk diri sendiri dan penyanyi lain. Saya rasa itu lebih memberi kepuasan terutama kalau lagu itu disukai ramai. Saya pernah mencipta sebuah lagu yang saya nyanyikan sendiri dan judulnya Tulus.
“Namun sekarang kalau dengar semula, saya rasa ada banyak perkara yang boleh ditambah baik kepada lagu itu. Mungkin kerana pengalaman makin bertambah, minat saya kian berkobar-kobar hendak mencipta lagu-lagu baharu,” katanya kepada Team Showbiz Suria FM.
Azmi, 37, juga memberitahu, dia sudah menyenaraikan beberapa nama artis yang menarik perhatiannya.
“Lagu-lagu sentuhan saya mungkin akan sesuai untuk penyanyi lelaki yang sinonim dengan genre rock balada. Kalau penyanyi baru, saya suka Apex Tajudin, dia boleh membawa lagu rock balada dengan baik.
“Selain itu, Usop pun ada kualiti vokal yang hebat. Mereka berdua sudah ada dalam fikiran saya setakat ini. Kalau penyanyi yang lebih senior mungkin belum sampai tahap itu lagi,” katanya.
Perkembangan lain, Azmi sedang sibuk mempromosikan single terbaharunya berjudul Majnun.
“Lagu ini diinspirasikan daripada kisah klasik Laila Majnun. Ia ada penceritaan unik selain melodi yang cukup menarik.
“Seperti kisah Laila Majnun, lagu ini menyelitkan cerita tentang keperitan yang harus ditelan demi cinta yang sejati. Emosi itulah yang saya cuba untuk hayati seterusnya disampaikan kepada semua pendengar,” katanya.
Menjawab pertanyaan tentang kehidupan sebagai seorang ayah sejak tahun lalu. Azmi akui dia dan isteri, Nazira Muhammad semakin bahagia membesarkan cahaya mata mereka, Khalisa Insyirah.
“Syukur Alhamdulillah, anak kami akan berusia sembilan bulan tidak lama lagi. Khalisa membesar dengan sihat dan ceria, sekarang sudah pandai mengesot.
“Buat masa ini, kami menjaga Khalisa sendiri, sebelum ini ada hantar ke pengasuh tetapi memandangkan jadual kerja saya tidak sibuk pada waktu siang, jadi saya yang menjaganya di rumah sementara isteri pergi bekerja.
“Kemudian kalau saya pergi buat persembahan pada waktu malam, isteri saya pula yang akan jaga Khalisa di rumah. Memang rasa lebih puas hati kalau kita dapat jaga sendiri anak kita di rumah,” ujarnya.