Oleh Asraf Aided
PENYANYI veteran, Zur Eda menegur sikap segelintir artis baharu zaman ini yang cepat meniti populariti tetapi akhirnya lupa diri.
Menurut Zur Eda atau nama kelahirannya Zuraidah Mokhtar, 59, perjalanan untuk menjadi popular sekarang memang lebih mudah berbanding dahulu dengan kewujudan media sosial namun situasi sebegitu pasti ada baik buruknya untuk ditempuhi.
“Pendapat saya mudah saja, biasanya kalau seseorang artis itu terlalu cepat naik, maka cepatlah juga mereka akan turun. Itulah yang generasi sekarang perlu berjaga-jaga tambahan pula kita hidup di zaman media sosial. Memang ia membantu, tetapi mereka juga perlu belajar banyak perkara untuk menjadi artis yang berkualiti dan evergreen.
“Selain itu, apabila mereka terlampau bangga diri ketika sedang naik, di situ mereka boleh menjadi riak dan sombong. Ketika itulah golongan sebegitu akan hanyut dan melalaikan.
“Dalam kehidupan ini kita harus sentiasa berpijak di bumi nyata. Tak gunalah meninggi diri. Kalau jaga adab dan selalu merendah diri, Insya-Allah urusan kita juga akan dipermudahkan oleh-Nya,” kata Zur Eda kepada Team Showbiz Suria FM.
Bagaimanapun, Zur Eda tidak mahu menyebut nama mana-mana artis yang mungkin pernah menunjukkan lagak di hadapannya.
“Saya tidak perlu menyebut nama sesiapa di sini tetapi kalau boleh jagalah tingkah laku kita orang Timur, lebih baiklah kita bersopan santun, jaga nama sendiri dan keluarga.
“Apapun, perkara sebegini berbalik kepada pilihan individu. Terpulang kepada masing-masing hendak pilih hidup yang macam mana.
“Kalau pilih jalan yang tidak baik, maka bersedialah dengan risiko atau padah yang akan diterima.
“Pernah juga saya lihat golongan artis yang telah melakukan kesilapan tetapi sudah kembali ke pangkal jalan. Alhamdulillah itu pastinya lebih baik, mungkin ia disebabkan berkat doa ibu bapa dan peminat juga,” katanya lagi.
Menjawab pertanyaan lain, Zur Eda sentiasa bersedia untuk merakamkan single terbaharu.
Namun, buat masa ini beliau masih menunggu masa yang sesuai.
“Saya terfikir juga hendak rakam lagu baru, cuma sedang tunggu masa yang sesuai. Lagipun, memilih lagu yang baik bukanlah mudah dan akan mengambil masa. Doakan agar urusan saya dipermudahkan,” katanya yang juga aktif mengusahakan perniagaan makanan di bawah jenama Zur Eda Kitchen.