ARTIKEL

Andy Teh, Hun Haqeem Bergabung Buka Elitez Mont Kiara

Oleh Roslen Fadzil

PELAKON Andy Teh dan Hun Haqeem bukan sahaja akrab sebagai sahabat malah membuktikan mereka juga mampu menjadi rakan kongsi perniagaan yang profesional apabila tampil membuka pusat sukan Elitez Mont Kiara.

Pusat sukan yang memfokus kepada seni bela diri campuran (MMA) serta kelas lagak ngeri (stunts) itu turut dibangunkan dua lagi rakan kongsi mereka iaitu Nana Zul dan Cosavia Khoo.

Bercakap kepada Suria FM, Andy, 38, berkata, dia tertarik untuk menambahkan cawangan terbaharu Elitez apabila dua cawangan terdahulu di Klang dan Shah Alam pernah mendapat sambutan.

“Ramai tahu saya sudah lama bergiat dalam sukan dan perniagaan berkaitan MMA namun inilah kali pertama Hun Haqeem berminat menjadi salah seorang rakan kongsi.

“Sebagai kawan baik Hun tidak salah saya mengajak Hun untuk menceburi bidang perniagaan sukan kerana ia mempunyai prospek yang bagus untuk masa depan,” kata Andy yang pernah mencipta kejayaan dalam kejohanan Ultimate Beatdown, Copa Da Malasia International Championship serta IPMF World Combative Martial Arts Championship.

Andy dan Hun bersama rakan kongsi mereka, Nana (kiri) dan Cosavia (kanan).

Hun, 26, pula terharu kerana Andy sudi menerimanya sebagai rakan kongsi dia sudah lama meminati bidang sukan terutama MMA.

“Ini adalah langkah pertama saya dalam meneroka bidang perniagaan berkaitan sukan dan rugi rasanya kalau saya tidak menimba pengalaman daripada Andy. Saya sebenarnya suka melihat rakyat Malaysia mengamalkan corak kehidupan yang sihat dan ini adalah satu cara untuk saya merealisasikan hasrat saya itu,” kata Hun pada sidang media pelancaran Elitez Mont Kiara di Plaza Mont Kiara, Kuala Lumpur, semalam.

Andy pula berkata, Elitez Mont Kiara terbuka kepada semua golongan usia, daripada kanak-kanak hinggalah warga emas.

“Kami ada ahli di kalangan kanak-kanak semuda enam tahun hinggalah mereka yang berusia lebih 70 tahun.

“Sebagai kelainan tambahan, kami juga melatih bakat-bakat baru dalam bidang stunts (lagak ngeri) kerana industri lakonan kita sentiasa memerlukan pakar stunts profesional,” jelasnya yang pernah membintangi telemovie Syukur Itu Aku dan filem cereka seperti Sangkar, Wira, Pagari Bulan, Pendekar Awang, The Maid dan Blood Brothers.

Rakan selebriti turut beri sokongan.

 

Sudut hiasan dalaman Elitez Mont Kiara.

Hun berkata lagi, walaupun dia kini perlu memberikan perhatian kepada pusat sukan itu, fokusnya kepada bidang lakonan tidak akan terganggu kerana mereka mempunyai ramai pertugas terlatih untuk menguruskannya.

Pada majlis pelancaran itu ramai rakan selebriti hadir memberikan sokongan seperti Meerqeen, Khaled Asharief, Aniq Durar, Haris Anuar, Fadlan Hazim, Ammar Titan, Megat Sharizal, Amir Nafis, Mia Sara Shauki, Alvin Wong dan Kevin Zahri.

Selain demonstrasi MMA, pertunjukan fesyen serta sambutan hari jadi untuk Andy juga berlangsung dengan meriah pada pelancaran itu.

Andy Teh Elitez Filem Hun Haqeem Mont Kiara Pelakon trending viral

0%