ARTIKEL

Amir Jahari Sasar Rakam 10 Album

Oleh Asraf Aided

BANGKIT daripada sisa kemurungan hingga memenangi Anugerah Juara Lagu Ke-38 (AJL38) awal tahun ini, penyanyi Amir Jahari mahu melengkapkan hasratnya untuk memiliki 10 buah album solo.

Sekalipun penghasilan album penuh menelan kos lebih besar berbanding single, Amir percaya impiannya itu dapat dilunaskan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

“Alhamdulillah, sekarang saya sudah ada pasukan yang akan bantu saya dalam pelbagai aspek. Untuk pembikinan lagu, saya juga sudah ada team khas. Mereka yang lakukan proses rakaman, mixing dan yang berkaitan dengan kejuruteraan bunyi.

“Selain itu, saya juga sudah ada team untuk urusan persembahan. Dengan adanya pasukan sendiri yang berdedikasi, saya tak perlu mengeluarkan kos yang terlalu tinggi untuk menghasilkan album.

“Apa yang penting, saya doa agar Allah permudahkan urusan dan memberikan saya umur yang panjang,” katanya kepada Team Showbiz Suria.

Amir ditemui di sidang media sempena melancarkan album ketiganya berjudul Kembali di The Curve, Mutiara Damansara pada Rabu.

Bercakap mengenai keistimewaan album tersebut, Amir menjanjikan muzik yang pelbagai kepada peminatnya.

“Album kali ini ada banyak perubahan dari segi muziknya. Lagu-lagu yang saya tampilkan kali ini lebih pelbagai berbanding dua album terdahulu.

“Anda boleh dengar lagu-lagu yang seperti Zainal Abidin, ada juga seperti lagu-lagu kumpulan Hujan.

“Selain itu, anda juga boleh dengar lagu-lagu genre pop. Ia adalah campuran pelbagai genre muzik yang saya hasilkan,” jelasnya.

Album terbaharu Amir Jahari.

Dalam pada itu, Amir juga sempat menjawab pertanyaan tentang kehidupan sejak bergelar juara AJL38, Mac lalu.

“Terus terang saya katakan, kemenangan di AJL tempoh hari adalah rezeki dan hadiah daripada Allah.

“Dengan hadiah itu, kita kena berhati-hati, kalau kita lupa diri maka binasalah kita nanti.

“Jadi, saya belum anggap kemenangan itu sebagai satu kejayaan lagi, objektif besar saya adalah untuk menyiapkan penghasilan 10 buah album yang saya katakan tadi.

“Saya mahu meninggalkan legasi kepada anak dan memberikan yang terbaik kepada semua peminat. Insya-Allah, saya rancang untuk melengkapkan 10 buah album itu dalam masa 10 tahun,” katanya.

Album Amir Jahari Penyanyi

0%