ARTIKEL

Adira Enggan Bersentuhan Dengan Pelakon Lelaki

Oleh Asraf Aided

PENYANYI dan pelakon, Adira Suhaimi kini meletakkan syarat tidak mahu bersentuhan dengan mana-mana pelakon lelaki sewaktu menjayakan sebarang penggambaran atau program hiburan.

Menurut Adira atau nama kelahirannya Siti Adira Suhaimi, 32, memandangkan dirinya sudah memegang status ibu tunggal, dia tidak mahu mengundang sebarang kontroversi.

“Saya sudah meletakkan syarat dalam lakonan di mana saya tak mahu bersentuhan dengan pelakon lelaki.

“Saya sebenarnya bimbang kalau penonton lihat saya bersentuhan dengan bukan mahram nanti ada pula cakap-cakap yang tak enak didengar.

“Saya mahu lalui kehidupan dengan tenang tanpa apa-apa isu. Saya pun sudah puas dengan kontroversi sebelum ini,” katanya kepada Team Showbiz Suria.

Adira ditemui di majlis pelancaran drama Jangan Tinggal Abang Dik! di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bekas bintang Akademi Fantasia musim ke-8 (AF8) ini menambah, syarat sebegitu sepatutnya tidak menjadi halangan besar untuk dia menjayakan sesebuah watak termasuk babak bercinta.

“Saya rasa hal itu tidak menjadi masalah kerana kalau perlu lakukan babak bercinta, saya boleh lapik kulit saya.

“Sekarang pun teknologi semakin berkembang, kita sudah ada camera trick yang boleh buat visual seakan-akan nampak seperti berpegang tangan, sebenarnya tak pegang pun,” jelasnya.

Menjawab pertanyaan lain, Adira akui rezekinya tidak pernah putus meskipun sudah bergelar ibu tunggal.

“Syukur Alhamdulillah, rezeki Allah beri tak pernah putus. Saya saya lebih aktif berlakon berbanding dulu sebab anak-anak sudah besar. Kalau dulu, memang risau hendak tinggalkan mereka di rumah lama-lama kerana semuanya masih kecil.

“Sekarang lebih mudah, lagipun mereka tinggal dengan keluarga, jadi mudah untuk saya memberi komitmen kepada jadual penggambaran.

“Pun begitu, saya masih akan pertimbangkan setiap tawaran yang diberi, setakat ini saya hanya ambil jika lokasi shooting berdekatan Kuala Lumpur saja. Bolehlah saya pulang ke rumah setiap hari untuk berjumpa dan meluangkan masa bersama anak-anak,” katanya lagi.

Adira tetap aktif bergiat sebagai anak seni.

Terdahulu, bekas suami Adira, Dato’ Seri Adnan Abu atau lebih dikenali sebagai Datuk Red menceraikan Adira yang merupakan isteri kedua dengan talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat, Kuang, Selangor pada 23 April 2024.

Hasil perkahwinan, Adira dan Datuk Red dikurniakan empat cahaya mata Anggrek, 7, Asan, 6, Anggun, 5, dan Ayob, 2.

Tatkala diusik tentang kemungkinan kembali rujuk bersama Datuk Red, Adira enggan mengulas panjang.

“Doa yang baik-baik, saya aminkan. Saya tak mahu cakap lebih-lebih,” ujarnya.

Adira Adira Suhaimi Pelakon Penyanyi

0%