ARTIKEL

44 syarikat raih pengiktirafan ESG

 

Edisi keempat ESG PIA mengetengahkan perniagaan yang mengubah visi kelestarian kepada nilai

PETALING JAYA: Sebanyak 44 syarikat daripada pelbagai sektor dan industri menerima 65 pengiktirafan pada Anugerah ESG Positive Impact (PIA) 2025 semalam, sebagai penghargaan terhadap komitmen mereka melaksanakan inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) yang memberi impak positif kepada perniagaan, komuniti dan negara.

Bertemakan “Celebrating ESG in Action: From Vision to Value”, edisi keempat anugerah itu mengiktiraf organisasi yang berjaya mengintegrasikan prinsip ESG ke dalam operasi teras perniagaan, sekali gus membuktikan bahawa amalan perniagaan yang bertanggungjawab mampu menjana nilai jangka panjang, bukan sekadar keuntungan.
Sebanyak 16 kategori anugerah dipertandingkan, dengan dua organisasi menerima pengiktirafan tertinggi Most Outstanding ESG Initiative 2025 atas pelaksanaan inisiatif ESG berimpak tinggi.
Bagi kategori perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat pertengahan, HeveaPac Sdn Bhd dianugerahkan atas komitmennya terhadap pembuatan mampan, penggunaan tenaga bersih dan pembangunan tenaga kerja yang inklusif.
Dalam kategori syarikat besar pula, YTY Industry Holdings Sdn Bhd menerima pengiktirafan atas komitmennya terhadap piawaian buruh beretika, pembuatan mesra alam serta peralihan kepada tenaga bersih.

Anugerah itu dianjurkan oleh Star Media Group (SMG) Bhd dengan khidmat nasihat Ernst & Young, serta disokong oleh rangkaian rakan strategik yang luas dan pengiktirafan daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri; Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam; Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi; serta Kementerian Sumber Manusia (Kesuma). Telekom Malaysia Bhd (TM) merupakan penaja utama, manakala IJM Rimbayu tampil sebagai penaja bersama.

Pacu impak di peringkat serantau
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan, yang hadir sebagai tetamu kehormat berkata, ESG PIA selari dengan aspirasi pembangunan tenaga kerja negara dan prinsip Malaysia MADANI.

“ESG PIA mencerminkan banyak keutamaan yang sedang kami perjuangkan di Kesuma. Daripada hak asasi manusia dan piawaian buruh kepada kesihatan dan kesejahteraan, pengurusan bakat, kepelbagaian, kesaksamaan dan keterangkuman serta tadbir urus dan transformasi, setiap anugerah mengiktiraf organisasi yang membawa perubahan positif,” katanya ketika berucap pada majlis yang berlangsung di Sunway Resort Hotel.

Menurut beliau, usaha itu turut mencerminkan prinsip Ihsan dalam kerangka Malaysia MADANI dengan memperkukuh tonggak sosial ESG melalui penekanan terhadap kebajikan pekerja tanpa mengira tempat mereka mencari rezeki.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SMG, Chan Seng Fatt, berkata para penerima anugerah telah membuktikan bahawa prinsip ESG mampu diterjemahkan kepada nilai jangka panjang yang memberi manfaat kepada pemegang saham, pekerja, komuniti dan generasi akan datang.

“ESG bukan lagi agenda yang terhad kepada sempadan sesebuah negara. Sebagai anggota pengasas Asia ESG Positive Impact Consortium (A-EPIC), SMG komited memperkukuh kesedaran ESG di peringkat serantau menerusi kerjasama rentas negara,” katanya.

Bersama anggota pengasas A-EPIC iaitu KG Media dari Indonesia dan Inquirer Group of Companies (IGC) dari Filipina, SMG turut mengiktiraf peneraju ESG negara masing-masing menerusi Lestari Awards dan Inquirer ESG Edge Impact Awards. Ketiga-tiga majlis itu disiarkan secara langsung dengan mesej bersama daripada Chan, Ketua Pegawai Eksekutif KG Media, Andy Budiman, serta Pengerusi Inquirer Interactive Inc., Sandy P. Romualdez.

Tingkat piawaian industri
Ketua Pegawai Korporat TM, Nor Fadhilah Mohd Ali, berkata pengiktirafan tersebut berpotensi menjadi pemangkin kepada penerima anugerah untuk memperluaskan inisiatif yang terbukti berkesan, meningkatkan kredibiliti serta mewujudkan kerjasama baharu yang mampu meluaskan impak mereka.

Beliau berkata, platform seperti ESG PIA juga menggalakkan lebih banyak organisasi untuk mengamalkan ESG sebagai sebahagian daripada strategi perniagaan mereka.

“Bagi TM, perkara paling bermakna dalam menyokong ESG PIA ialah peluang untuk terus memacu agenda kelestarian Malaysia menerusi platform yang mengiktiraf inisiatif ESG berimpak, berkongsi amalan terbaik serta menggalakkan penyertaan lebih meluas daripada pelbagai industri.

“Kami percaya tanggungjawab kami bukan sekadar mengurus kelestarian dalam operasi sendiri, tetapi turut memanfaatkan infrastruktur digital, keupayaan teknologi dan kerjasama strategik untuk membawa kemajuan bermakna kepada komuniti, perniagaan dan negara,” katanya dalam satu kenyataan.

Ketua Pegawai Operasi IJM Land, Datuk Chai Kian Soon, berkata pihaknya berbesar hati melihat ESG PIA mengiktiraf kedua-dua syarikat PKS dan korporat yang mempamerkan kecemerlangan dalam amalan perniagaan mampan.

“Dengan meraikan kepimpinan dan impak positif, anugerah ini menggalakkan lebih banyak perniagaan memperkukuh amalan ESG masing-masing sekaligus meningkatkan piawaian dalam komuniti perniagaan.

“Di IJM Rimbayu, kelestarian sentiasa menjadi panduan dalam perancangan dan pembangunan komuniti. Kami berbangga menyokong platform yang mengiktiraf pencapaian hari ini sebagai pemangkin kepada kemajuan yang lebih besar pada masa hadapan,” katanya.

Turut hadir ialah Duta Filipina ke Malaysia, Maria Angela A. Ponce, yang memuji perkembangan kerjasama antara tiga kumpulan media berkenaan sejak penubuhan A-EPIC.

“Usaha di peringkat tempatan perlu diperkukuh menerusi kerjasama serantau. Menerusi konsortium ini, perusahaan kecil dan sederhana serta syarikat besardapat berkongsi pengalaman, mempelajari amalan terbaik dan mempercepatkan pelaksanaan ESG di negara masing-masing,” katanya.

Jadi penanda aras kecemerlangan
Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif YTY Group, Vikram Hora, menyifatkan ESG PIA sebagai platform penting yang mengiktiraf usaha kelestarian syarikat tidak tersenarai di Bursa Malaysia.

“Pengiktirafan ini memberi inspirasi kepada kami untuk terus memperkukuh perjalanan ESG. Dengan platform dan pengaruh yang dimiliki SMG, lebih banyak syarikat dapat diketengahkan dan usaha mereka diberi pengiktirafan sewajarnya,” katanya.

Menurut beliau, fokus ESG YTY Group tertumpu kepada pematuhan sosial dan perlindungan hak tenaga kerja, khususnya dalam memastikan amalan buruh yang adil bagi pekerja migran.

Sementara itu, Pengasas dan Pengarah Eksekutif HeveaPac Sdn Bhd, Peh Ju Chai, menyifatkan anugerah tersebut sebagai pengiktirafan terhadap komitmen syarikat selama sedekad dalam memperkukuh pembuatan mampan dan kebajikan pekerja.

“Ini mengesahkan bahawa usaha kami sepanjang 10 tahun lalu mendapat pengiktirafan. Kami telah mengambil pelbagai langkah penting, daripada mengumpul air hujan dan memasang sistem kawalan habuk canggih, hinggalah menyediakan klinik perubatan di lokasi serta melabur RM25 juta untuk membina asrama moden yang dilengkapi teknologi bagi pekerja asing kami,” katanya.

Beliau berkata, platform seperti ESG PIA memainkan peranan penting dalam menggalakkan lebih banyak PKS memperkukuh amalan ESG masing-masing.

“Anugerah ini pastinya akan membantu PKS memajukan inisiatif ESG mereka kerana setiap orang boleh memainkan peranan. Syarikat perlu mengambil bahagian untuk belajar dan memahami ESG dengan lebih mendalam,” katanya.

Pemenang daripada kategori terpilih ESG PIA 2025, Lestari Awards dan Inquirer ESG Edge Impact Awards akan mewakili negara masing-masing ke Asia ESG Positive Impact Awards, yang dijadual berlangsung pada November ini.