SIAPA sangka, video spontan seorang budak lelaki menyanyikan lagu Bila Diri Disayangi dendangan kumpulan Ukays sekitar tahun 2009 kekal menjadi antara memori paling ikonik buat netizen Malaysia.
Kini selepas lebih sedekad berlalu, tuan punya badan iaitu Muhammad Fahmi Md Shahar, 26, mengakui terhibur apabila wajah zaman kanak-kanaknya kembali tular di aplikasi Threads.
Pengguna dengan nama Cshrry Sarbini berkongsi semula video berkenaan sambil bertanya tentang perkembangan terkini kanak-kanak di dalam rakaman berkenaan.
Hantaran tersebut meraih lebih 18,000 tanda suka, membuktikan impak video nostalgia itu masih berbisa.
Tanpa diduga, seorang wanita dikenali sebagai Nuralia Elisa, 23, tampil berkongsi perkembangan terkini kanak-kanak di dalam video tersebut, lantas mengundang rasa teruja netizen.

Hantaran tular yang mendapat perhatian ramai di Threads.
“Alhamdulillah, si ‘penyanyi’ tu dah jadi seorang suami dan kami dikurniakan dua orang anak lelaki,” katanya sambil berkongsi sekeping foto perkahwinan mereka sebagai bukti.







