ARTIKEL

PPZ-MAIWP IKTIRAF PERANAN MAJIKAN PERKUKUH BUDAYA ZAKAT DAN WAKAF

KUALA LUMPUR, 19 NOVEMBER 2026 — Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) telah menyampaikan sebanyak 25 pengiktirafan kepada majikan sektor awam dan swasta sempena Majlis Mesra Majikan 2026 baru-baru ini, bagi menghargai peranan mereka dalam membudayakan zakat dan wakaf dalam kalangan warga kerja.

Berlangsung di Dewan Tun Dr. Ismail, World Trade Centre Kuala Lumpur, majlis tersebut diadakan untuk mengiktiraf komitmen majikan dalam memudahkan kakitangan menunaikan zakat melalui Skim Potongan Zakat Bulanan (Skim PZB), di samping menggalakkan amalan berwakaf secara konsisten.

Memasuki tahun kelima penganjurannya, majlis itu turut menjadi ruang pertemuan antara PPZ-MAIWP dengan para majikan bagi menambah baik pengurusan potongan zakat, memperluas penyertaan pekerja serta berkongsi perkembangan terkini perkhidmatan zakat dan wakaf.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, peranan majikan dalam membudayakan zakat perlu disokong dengan kemudahan pembayaran serta usaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan warga kerja.

“Melalui kemudahan dan sokongan yang diberikan, majikan dapat membantu kakitangan menunaikan kewajipan berzakat dengan lebih mudah dan teratur. Mungkin usaha ini kelihatan sederhana dari sudut pentadbiran, namun manfaatnya cukup besar kepada golongan yang memerlukan,” katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Pengerusi PPZ-MAIWP, Dato’ Haji Ahmad Azam Ab Rahman, yang mewakili beliau pada majlis tersebut.

Beliau turut menyeru para majikan agar lebih aktif meningkatkan kesedaran zakat melalui hebahan, program penerangan dan perkongsian ilmu, memandangkan sokongan pihak pengurusan amat penting untuk membantu pekerja memahami kewajipan berzakat serta menggalakkan penyertaan dalam Skim PZB.

Pada masa yang sama, beliau menggalakkan majikan menyediakan kemudahan potongan wakaf bulanan supaya pekerja dapat berwakaf secara konsisten mengikut kemampuan masing-masing demi manfaat masyarakat, khususnya dalam bidang pendidikan, kesihatan dan kebajikan.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Setiausaha/Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Is. Mohd Nizam Haji Yahya dan Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Datuk Haji Abdul Hakim Amir Osman.

Pengiktirafan Komitmen Majikan dalam Zakat dan Wakaf

Sebanyak 25 pengiktirafan telah disampaikan menerusi tiga kategori utama, iaitu empat bagi Anugerah Khas Zakat 2026, 18 bagi Anugerah Majikan Terbaik Zakat 2026 dan tiga bagi Anugerah Majikan Terbaik Wakaf 2026. Pemilihan para penerima telah dibuat berdasarkan rekod bayaran serta komitmen dan kerjasama majikan dalam menjayakan pelaksanaan zakat dan wakaf mengikut kriteria yang ditetapkan.

Bagi Anugerah Khas Zakat 2026, pengiktirafan telah diberikan kepada Petroliam Nasional Berhad, Malayan Banking Berhad, Habib Jewels Sdn Bhd serta Markas Angkatan Tentera Malaysia.

Anugerah Majikan Terbaik Zakat 2026 pula mengiktiraf 18 organisasi berdasarkan aspek pertumbuhan kutipan dan bilangan pembayar, ketepatan penyerahan data serta bayaran pada bulan semasa, kesinambungan potongan zakat dan kerjasama erat dengan PPZ-MAIWP.

Barisan penerimanya merangkumi AmBank (M) Berhad (Kumpulan AmBank), Bank Islam Malaysia Berhad, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad, Bank Negara Malaysia, Bursa Malaysia Berhad, Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kerja Raya Malaysia, Kementerian Kewangan Malaysia dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).

Turut menerima pengiktirafan tersebut ialah Malaysia International Shipping Corp Bhd (MISC), Prokhas Sdn Bhd, Prudential BSN Takaful Berhad, RHB Bank Berhad, Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank), Technip Energies (M) Sdn Bhd, Tenaga Nasional Berhad, Universiti Malaya dan Vantris Energy Berhad.

Sementara itu, bagi Anugerah Majikan Terbaik Wakaf 2026, pengiktirafan telah menjadi milik Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Al Rajhi Banking & Investment Corporation (Malaysia) Bhd dan Bursa Malaysia Berhad atas pencapaian kutipan wakaf bulanan yang konsisten serta komitmen menggalakkan penyertaan kakitangan.

Kafalah Muzakki Menyantuni Waris Pembayar Zakat

Dalam majlis yang sama, PPZ-MAIWP turut menyampaikan sumbangan Skim Kafalah Muzakki secara simbolik berjumlah RM5,000 kepada dua waris pembayar zakat sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan keluarga mereka.

Selain itu, PPZ-MAIWP juga telah mengetengahkan kemudahan digital dan skim sokongan seperti MyMajikan, MyZakat 4.0, MyWakalah dan Kafalah@Majikan serta projek wakaf terkini bagi membantu majikan menyampaikan maklumat dan perkhidmatan secara lebih efisien kepada warga kerja.

Menerusi kerjasama berterusan itu, PPZ-MAIWP terus menggalakkan lebih banyak majikan menyediakan kemudahan potongan zakat dan wakaf bulanan serta memperkukuh sesi penerangan kepada kakitangan agar kewajipan tersebut dapat ditunaikan secara teratur demi manfaat golongan asnaf dan masyarakat yang memerlukan.

– TAMAT – 

Mengenai PPZ-MAIWP

Pusat Pungutan Zakat (PPZ-MAIWP) merupakan agensi yang telah dilantik oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) untuk mengutip zakat harta di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya. Sejak ditubuhkan, PPZ-MAIWP telah merevolusikan pengurusan zakat menerusi pendekatan korporat, efisien dan mesra pelanggan, sekali gus menjadikannya antara institusi zakat paling progresif di Malaysia dengan penyediaan pelbagai saluran bayaran secara dalam talian dan fizikal.

Selain memperkasakan kutipan zakat, PPZ-MAIWP turut menggalas tanggungjawab memacu kecemerlangan institusi wakaf melalui penjenamaan semula Wakaf Wilayah Persekutuan yang dirangka secara strategik untuk memberi impak langsung kepada pembangunan ummah dalam sektor pendidikan, kesihatan, kebajikan serta program pemerkasaan ekonomi asnaf yang lestari.

Untuk maklumat lanjut, layari www.zakat.com.my atau www.wakafwilayah.com.my.