PERASAAN gembira menyambut perkahwinan anak bertukar sebak buat penyanyi Linda Rafar apabila mengenangkan Allahyarham cahaya mata sulungnya, Rezaimen Keiflin yang tiada di sisi untuk meraikan hari bahagia itu.
Linda atau Azlinda Abdul Rafar, 48, berkata anak keduanya, Rezaril Keiflin, 26, bakal mendirikan rumah tangga dalam tempoh tiga hari lagi, sekali gus membuatkan kerinduan terhadap arwah semakin terasa.
Menerusi perkongsian menyentuh hati, Linda meluahkan perasaan rindu terhadap Rezaimen atau lebih mesra disapa Memen, selain membayangkan kegembiraan arwah sekiranya dapat menyaksikan adiknya naik pelamin.







